Home Koronavirus Syor buat saringan Covid-19 besar-besaran di Johor

Syor buat saringan Covid-19 besar-besaran di Johor

0
Syor buat saringan Covid-19 besar-besaran di Johor

JOHOR BAHRU- Pakatan Harapan (PH) Johor menggariskan lima tuntutan mendesak yang perlu diberikan perhatian dalam mesyuarat bersama wakil rakyat negeri ini pada minggu depan, termasuk melakukan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran.

Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor, Loew Chin Tong berkata, kerajaan Johor juga dicadangkan untuk menjalankan saringan secara percuma bagi mengatasi penularan wabak yang serius dalam komuniti.

“Kita boleh menggerakkan hospital-hospital di bawah KPJ Healthcare yang dimiliki oleh Johor Corporation Bhd (JCorp) bagi mempergiat pemeriksaan Covid-19 supaya dapat menjejak jangkitan terutamanya antara mereka yang tidak menunjukkan sebarang simptom.

“Penggunaan Antigen Rapid Testing (RTK-Ag) harus digalakkan. Pencegahan awal dapat membantu kita menganalisis situasi dengan lebih cermat dan mengurangkan kos dan kesan jika dibandingkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” menurut kenyataan itu.

Selain itu, mesyuarat dwipartisan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor perlu membahaskan perancangan untuk memperluaskan kempen kesedaran vaksinasi kepada warga Johor dan mencapai angka pendaftaran sekurang-kurangnya 70 peratus daripada keseluruhan mereka yang layak.

Ia memandangkan pendaftaran vaksinasi di Johor melalui aplikasi MySejahtera masih lagi rendah, iaitu sekitar 1.24 juta orang bersamaan 43.83 peratus berbanding 2.9 juta orang yang layak menerima vaksin.

Malah, jumlah rakyat negeri Johor yang telah menerima vaksinasi juga kekal rendah pada kadar 4.38 peratus.

“Pakej rangsangan ekonomi tambahan perlu dibahaskan di negeri Johor bagi membantu mereka yang terkesan ketika perintah darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Bantuan ekonomi perlu diberikan kepada golongan berpendapatan rendah, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), anak muda dan pekerja yang amat terkesan bahkan hilang pendapatan akibat PKP yang dilaksanakan kerajaan Pusat.

“Wajar sekiranya kerajaan negeri, ahli Parlimen dan ADUN Johor membincangkan pelan ekonomi negeri ini dan menyemak semula Belanjawan 2021 Johor untuk memastikan ekonomi rakyat terus berdaya tahan dan boleh berkembang untuk satu tempoh jangka panjang khasnya ketika pandemik masih belum reda,” ujarnya.

Selain itu, PH Johor turut menyambut baik prosedur terkini yang membolehkan warganegara Malaysia yang merupakan pelajar sedia ada dan pemegang pas jangka panjang untuk keluar negara, terutamanya ke Singapura.

Jelasnya, perbincangan mendalam mengenai perkara itu wajib diteruskan bagi memastikan bangsa Johor dan anak Malaysia yang bekerja di seberang tambak dapat meneruskan keberlangsungan hidup.

Selain itu, kerajaan negeri perlu mendesak agar kerajaan Malaysia-Singapura menyegerakan perancangan pembukaan sempadan selepas keadaan lebih stabil untuk memulihkan ekonomi negeri ini setelah kian lama terjejas akibat krisis wabak pandemik Covid-19.

“Kami juga mencadangkan agar mesyuarat ahli Parlimen dan ADUN Johor membahaskan usul agar kerajaan negeri boleh mengambil langkah mendesak kerajaan Persekutuan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera menamatkan darurat agar institusi demokrasi negara, Parlimen dan DUN dapat bersidang semula bagi membincangkan ekonomi rakyat dan negara.

“Tiba masanya kerajaan Persekutuan menerapkan tadbir urus yang inklusif secara dwipartisan dalam memerangi wabak pandemik bersama-sama kerajaan negeri, ahli Parlimen, ADUN serta rakyat secara menyeluruh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here