Home Koronavirus Khairy jawab isu vaksinasi dibangkitkan Anwar

Khairy jawab isu vaksinasi dibangkitkan Anwar

0
Khairy jawab isu vaksinasi dibangkitkan Anwar

SHAH ALAM – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjawab beberapa persoalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan program vaksinasi ketika ini.

Mengenai sumbangan yang ingin diberikan Yayasan Shekar kepada kerajaan negeri Selangor, Khairy berkata, hasil daripada semakan yang dilakukan tiada sebarang urusan yang diadakan bersama syarikat Sinovac.

Jelasnya, dakwaan berkaitan Yayasan Shekar sudah menunggu sejak Mac lalu adalah palsu apabila tiada sebarang rekod menunjukkan wujudnya urusan sedemikian.

“Namun demikian saya telah menghubungi yayasan tersebut dan sekali lagi memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan bahawa mereka sebenarnya adalah sahih dan mereka dapat memberi sumbangan tersebut.

“Malangnya, setakat ini belum ada apa-apa bukti lagi daripada pihak Sinovac bahawa Shekar Foundation telah membuat tempahan untuk vaksin yang nak diderma,’ katanya dalam satu video yang dikongsikan di Facebooknya pada Khamis.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa pembelian vaksin oleh syarikat industri akan dibenarkan apabila fasa ketiga PICK bermula dengan tujuan mempercepatkan kadar pemberian.

Jelasnya, perkara tersebut telah dibincangkan oleh sektor swasta bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi melaksanakan perkara tersebut.

“Cuma sekarang kita nak selesaikan warga emas dahulu dan senarai di dalam fasa dua. Saya yakin bila bulan Jun nanti kadar vaksin akan meningkat dan akan dipercepatkan lagi di Malaysia,”

Mengulas mengenai kerajaan mengawal pembelian vaksin, Khairy berkata, segala perolehan vaksin perlu mendahulukan kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, sebahagian besar negara di dunia termasuk negara maju mengutamakan program imunisasi kebangsaan.

“Kita bagi keutamaan pembelian kepada PICK. Segala perolehan kerajaan Persekutuan mesti didahulukan. Selepas itu sesiapa yang nak beli dari mana-mana syarikat vaksin yang telah menerima kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bebas untuk melakukannya,” ujarnya.

Menjawab tuduhan berkaitan satu syarikat sahaja memonopoli pembelian vaksin, Khairy menjelaskan bahawa setiap vaksin mesti memiliki label pemilik pendaftaran produk tempatan atau syarikat tempatan membuat permohonan kepada NPRA bagi mendapat kelulusan itu.

Katanya, vaksin Sinovac Registration Holder adalah syarikat Pharmaniaga iaitu syarikat kerajaan yang dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

“Maka dengan ini jelas setiap vaksin perlu melalui satu pemilik pendaftaran produk, China ada juga vaksin lain contohnya Sinofarm dan ada beberapa pihak tempatan ingin mendaftarkan vaksin ini.

“Kita terbuka kepada mana-mana pihak yang mempunyai keupayaan dan maklumat data klinikal untuk mendaftarkan dengan NPRA, itu tak perlu melalui syarikat Pharmaniaga,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here