JOHOR BAHRU – Suasana tenang dan terkawal di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada) pada hari pertama pusat berkenaan beroperasi pada Isnin.
Tinjauan Sinar Harian di Persada seawal jam 7.30 pagi mendapati petugas termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bertugas mengawal keadaan sekitar terutama bagi mengelakkan berlaku kesesakan lalu lintas.
Sementara itu, rata-rata penerima vaksin yang ditemui berpuas hati dengan kelancaran dan kemudahan disediakan.
Penerima vaksin terdiri daripada warga emas, golongan kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik diberikan keutamaan dan dibantu oleh petugas dan sukarelawan.
Bekas pengetua, Idris Ahmad, 67, dari Peserai, Batu Pahat berkaya, dia bersyukur kerana menjadi penerima vaksin pertama di PPV Mega Persada.
“Saya datang bersama isteri, Azmah Harun, 65, yang turut menerima vaksin pada hari ini (Isnin). Kami bertolak dari Batu Pahat kira- kira jam 6.30 pagi menaiki kereta yang dipandu anak.
“Kami tiba di Persada kira-kira jam 7.45 pagi. Petugas dan sukarelawan di sini banyak membantu memudahkan pergerakan kami di PPV Persada,” katanya.
Sementara itu, bagi orang kurang keurang upaya ( OKU) Afendy Bala Abdullah, 71, dia berpuas hati sepanjang berada di PPV Persada kerana ramai sukarelawan yang membantunya.
“Sebaik tiba jam 8 pagi tadi, saya disapa dengan mesra oleh petugas dan sukarelawan di sini. Mereka membantu sehingga selesai saya divaksin,” katanya.
Pada Ahad, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham dilaporkan berkata, sebanyak 500 penerima vaksin AstraZeneca akan disuntik di tiga PPV Mega di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, bermula Isnin.
Pada 26 Mei lalu, satu juta slot dalam pusingan kedua tempahan janji temu vaksin AstraZeneca bagi rakyat Malaysia berusia bawah 60 tahun habis dalam tempoh 90 minit.
Berikutan sambutan memberangsangkan orang ramai terhadap vaksin itu, kerajaan pada 27 Mei lalu telah memasukkan kembali vaksin tersebut ke dalam senarai vaksin arus perdana Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan kaedah sukarela atau ‘opt-in’ apabila melihat ada keengganan dalam kalangan masyarakat untuk menerima vaksin AstraZeneca disebabkan laporan berita mengaitkan vaksin itu dengan kes pembekuan darah.