Home Koronavirus Situasi PPV PWTC terkawal

Situasi PPV PWTC terkawal

0
Situasi PPV PWTC terkawal

KUALA LUMPUR – Keadaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini berada dalam keadaan terkawal sewaktu tinjauan Sinar Harian sekitar jam 1 tengah hari Ahad.

Walaupun beratur panjang namun penerima vaksin yang membuat temu janji untuk slot jam 2 petang itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan keadaan sangat terkawal.

Hasil tinjauan tersebut mendapati, masih ada individu yang datang awal dan tidak kurang juga yang hadir tanpa temu janji untuk mencuba nasib.

Seorang pengurus kilang, Abdul Aziz Musa, 52, berkata, dia bersama isteri dan seorang anak tiba sejam awal daripada waktu ditetapkan bagi melancarkan urusan memandangkan baru pertama kali ke sana.

“Saja datang awal sebab tak biasa dengan tempat ini, jadi kena bersedia awal untuk lancarkan urusan.

“Masa saya datang terus beratur. Tidak timbul isu bersesak dan semuanya dalam keadaan baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Semalam tular gambar dan video orang ramai menunggu di luar bangunan PWTC untuk masuk PPV berkenaan untuk temu janji.

Perkara sama diakui oleh seorang pelajar Iinstitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Hana Khalilah Mohd.Fauzi, 22, bahawa urusan pemberian vaksin ke atasnya berjalan lancar dan selesai kurang sejam.

“Temu janji saya sekitar jam 12.30 tengah hari tadi. Apabila sampai terus masuk ke tempat vaksin seperti yang diarahkan petugas.

“Masa mula dengar pasal PWTC sesak untuk ambil vaksin semalam, risaulah juga, tapi Alhamdulillah semasa giliran saya semuanya berjalan lancar. Cuma saya nasihatkan orang ramai beri kerjasama dan patuh arahan petugas, pasti tak timbul isu kluster PPV,” katanya.

Pesara swasta, Nurazma Abd Rahim, 53, yang dilihat menunggu agak jauh dari pintu masuk PPV meluahkan kebimbangan dengan lautan manusia yang beratur menunggu giliran itu.

“Temu janji saya jam 2 petang tapi tak berani nak beratur lagi sebab terlalu ramai orang. Saya harap mereka yang ada temu janji tidak datang terlalu awal kerana ia boleh menyebabkan kesesakan.

“Sudah tiba masanya petugas bertegas. Mana-mana yang datang terlalu awal atau sudah terlewat atau tiada urusan di PPV dihalau dari lokasi supaya tidak memenuhi kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, keadaan di PPV terbabit terkawal berbanding semalam seperti yang tular di media sosial.

“Semalam disebabkan masalah teknikal apabila masa temu janji dipendekkan secara tidak sengaja namun pengurusan PPV berkenaan cuba menyelesaikan semua temu janji yang telah dibuat.

“Keadaan hari ini kembali terkawal. Seramai 40 anggota dan empat pegawai ditempatkan di PPV berkenaan tidak termasuk anggota trafik yang mengawal lalu lintas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here