Home Koronavirus Sindiket vaksin palsu di dua bandar India tumpas

Sindiket vaksin palsu di dua bandar India tumpas

Sindiket vaksin palsu di dua bandar India tumpas

MUMBAI – Polis India pada Jumaat melancarkan siasatan di dua bandar selepas mendakwa ribuan disuntik dengan vaksin palsu Covid-19.

Menurut pihak berkuasa di Mumbai, seramai 10 individu termasuk dua doktor di sebuah hospital swasta yang terlibat sindiket penipuan menyasarkan penduduk di kompleks perumahan kelas atasan di hab kewangan itu telah ditahan.

“Kira-kira 2,000 individu menerima vaksin palsu Covid-19 yang merupakan larutan garam. Kami turut menemui lapan lagi lokasi sindiket haram itu beroperasi dan wang tunai berjumlah 1.24 juta rupees (RM69,562),” kata Pesuruhjaya Bersama untuk Bahagian Undang-undang dan Tatatertib, Vishwas Patil.

Sementara itu, polis di Kolkata memberkas seorang lelaki yang menyamar sebagai penjawat awam dan memiliki ijazah sarjana dalam bidang genetik yang mengendalikan lapan kem inokulasi palsu.

Siasatan awal mendapati kira-kira 250 orang kurang upaya dan transgender menerima suntikan itu yang menjadikan jumlah keseluruhan hampir 500 terpedaya dengan vaksin palsu yang dilabel sebagai Covishield.

“Label itu dilekatkan pada permukaan label asal yang merupakan antibiotik Amikacin Sulphate 500mg yang digunakan untuk merawat jangkitan bakteria pada saluran kencing, tulang, otak, paru-paru dan darah,” kata jurucakapnya, Atin Ghosh.

Sindiket vaksin palsu itu terbongkar selepas aktres dan ahli politik, Mimi Chakraborty yang menerima suntikan di salah sebuah pusat vaksinasi tidak sah itu mengesyaki sesuatu dan bertindak segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

Pegawai kesihatan, Debashis Barui berkata, kebanyakan mangsa penipuan itu kini bimbang dengan kesan sampingan vaksin palsu tersebut.

“Sekiranya berlaku kes kecemasan, pihak berkuasa akan menubuhkan kes perubatan di kawasan terlibat untuk merawat mangsa,” ujarnya.

Kadar vaksinasi di negara itu meningkat pada minggu ini selepas pemerintah menawarkan suntikan vaksin percuma susulan lonjakan kes hingga mencetuskan gelombang ‘tsunami’ jangkitan pada April dan Mei lalu. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here