Home Koronavirus Covid-19: Ketetapan tatacara kemasukan ke Sarawak ditambah

Covid-19: Ketetapan tatacara kemasukan ke Sarawak ditambah

0
Covid-19: Ketetapan tatacara kemasukan ke Sarawak ditambah

KUCHING – Beberapa ketetapan baharu telah ditambah dalam tatacara kemasukan ke Sarawak berkuat kuasa serta-merta bagi membendung penularan Varian yang Membimbangkan (VOC) Covid-19, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Jumaat.

Satu daripadanya ialah mewajibkan semua pengembara dari India, Nepal, Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka menjalani ujian RT-PCR Covid-19 tiga hari sebelum berlepas dan semasa ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) serta menjalani kuarantin wajib selama 21 hari di ‘First Point of Entry’ (FPOE).

“Mereka juga perlu mempunyai keputusan RT-PCR negatif pada hari ke-18 sebelum dibenarkan masuk ke Sarawak selain membuat permohonan dalam sistem ‘EnterSarawak’ serta akan dikuarantin sehingga ujian ulangan RT-PCR pertama di Sarawak adalah negatif,” menurut JPBN dalam kenyataan.

Bagi pengembara dari negara lain, mereka wajib menjalani ujian RT-PCR Covid-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas dan semasa ketibaan di PMA serta menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di FPOE.

“Mereka perlu mempunyai keputusan ujian RT-PCR negatif pada hari ke-10 sebelum dibenarkan masuk ke Sarawak, selain membuat permohonan menerusi sistem ‘EnterSarawak’ serta dikuarantin selama tujuh hari di Sarawak dan diambil ujian RT-PCR Covid-19 pada hari keempat kuarantin,” menurut kenyataan itu.

Bagi pengembara dari Wilayah Persekutuan Labuan pula, mereka yang mempunyai sejarah berada di pulau itu dalam tempoh 21 hari tidak dibenarkan memasuki Sarawak buat sementara waktu kecuali bagi tujuan kecemasan dengan mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada JPBN Sarawak.

Berkenaan individu yang pulang dari negeri lain pula, mereka wajib mengemukakan keputusan ujian RT-PCR negatif yang diambil dalam tempoh tiga hari sebelum kemasukan ke Sarawak.

“Kebenaran untuk masuk ke Sarawak perlu mohon dalam sistem ‘EnterSarawak’ selain akan dikuarantin wajib selama 14 hari di Sarawak serta ujian RT-PCR akan diambil pada hari ke-10 kuarantin,” menurut kenyataan itu.

Sarawak hari ini mencatatkan 673 kes baharu Covid-19 dengan 423 kes daripadanya dikesan di Sibu, Kuching, Kanowit, Bintulu dan Sarikei selain empat kes kematian baharu akibat wabak itu menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 396 orang. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here