PUTRAJAYA – [DIKEMASKINI] Kadar pendaftaran vaksinasi Covid-19 yang rendah berbanding pengguna aplikasi MySejahtera disebabkan orang ramai mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya turut menerima maklum balas daripada rakyat di luar bandar bahawa mereka tidak mengetahui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Inilah faktor yang kita ambil kira dan akan mempertingkat komunikasi,” katanya pada sidang akhbar perkembangan PICK pada Isnin. Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Bagaimanapun katanya, kerajaan yakin pendaftaran vaksinasi Covid-19 akan dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa.
“Ada yang tunggu ahli keluarga atau jiran tetangga menerima suntikan, barulah mereka yakin. Ia proses jangka masa yang sederhana,” kata beliau.
Khairy berkata, bermula Isnin, talian hotline PICK akan membuat panggilan kepada orang ramai yang mempunyai akaun MySejahtera tetapi belum mendaftar diri dalam program vaksinasi tersebut.
“Mereka akan menghubungi orang ramai untuk memberi peringatan serta membantu membuat pendaftaran sekiranya terdapat sebarang kesulitan,” katanya.
Menurutnya, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) juga telah mula menggerakkan pendaftaran PICK secara bersemuka dari rumah ke rumah.
“Ia dilakukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” kata beliau lagi.
Tambah Khairy, ahli Parlimen juga telah diberi taklimat agar menggunakan jentera pusat khidmat masyarakat wakil rakyat untuk menyelaraskan pendaftaran bersemuka.
“Ia bagi kawasan luar bandar yang tiada capaian internet atau peranti,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, setakat tengah malam Ahad, 25.4 peratus atau 6,155,213 rakyat berusia 18 tahun ke atas sudah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Daripada jumlah itu, seramai 428,710 sudah menerima suntikan vaksin.
“Ia melibatkan 412,342 individu bagi dos pertama manakala 16,368 penerima untuk dos kedua,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 847,630 dos vaksin sudah dihantar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), manakala 426,935 janji temu sudah diaturkan.
“Selangor muncul negeri paling tinggi dengan 53,935 dos telah diberikan diikuti Perak (49,518), Sarawak (43,007), Sabah (41,058) dan Kuala Lumpur (36,316).
“Kuala Lumpur juga muncul daerah tertinggi vaksinasi membabitkan 36,316 dos, manakala Kinta, Perak (17,056) Petaling (15,700) Kuantan (13,155) dan Timur Laut, Pulau Pinang (13,04),” katanya.