Home Koronavirus Sabah laksana pendekatan tersendiri capai lebih ramai terima suntikan vaksin

Sabah laksana pendekatan tersendiri capai lebih ramai terima suntikan vaksin

0
Sabah laksana pendekatan tersendiri capai lebih ramai terima suntikan vaksin

KOTA KINABALU – Jabatan Kesihatan Sabah akan melaksanakan pendekatan proaktif secara tersendiri untuk mencapai lebih banyak orang menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Christina Rundi berkata, langkah itu penting kerana sehingga 17 Mac, Sabah mencatatkan kira-kira 268,000 orang atau sembilan peratus yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin di aplikasi MySejahtera, yang terendah berbanding negeri-negeri lain.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri banyak membantu dan kami juga dapat mengumpul data daripada rekod hospital. Jadi, kami mempunyai jumlah diperlukan. Pendekatan proaktif termasuk bergerak ke tempat yang perkhidmatan jalur lebar terhad serta mendekati mereka yang tidak mempunyai telefon bimbit.

“Jika ada stok vaksin, kami akan terus berikan suntikan kepada mereka. Kami tidak perlu menunggu data daripada MySejahtera atau senarai diberikan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Pusat Vaksinasi Covid-19 Kota Kinabalu di sini pada Isnin.

Menurut Dr Christina, pasukan kesihatan akan bergerak dalam fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada April dan Mei.

Beliau berkata, Sabah telah menerima empat penghantaran membabitkan kira-kira 53,000 vaksin Covid-19 manakala kira-kira 50,000 lagi akan tiba di negeri itu dalam dua penghantaran berikutnya.

Dr Christina turut mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan bukan kesihatan seperti polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang sentiasa dedikasi dalam memastikan program suntikan vaksin berjalan lancar.

“Sokongan yang kami terima menyemarakkan lagi semangat kami untuk melakukan lebih baik kepada rakyat,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here