KAJANG – Kerajaan Selangor menubuhkan pusat vaksinasi khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam yang menggunakan vaksin AstraZeneca bagi mempercepatkan program imunisasi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pusat vaksinasi tersebut diadakan setelah pihaknya berbincang dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar beberapa hari lalu.
Menurutnya, pusat vaksinasi tersebut akan disiapkan dalam masa empat hingga lima hari lagi dan akan dikendalikan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling di bawah seliaan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Petaling, Johary Anuar.
“Orang ramai boleh datang secara sukarela untuk mendapatkan vaksin tersebut dan saya percaya ia akan mempercepatkan program vaksinasi di Selangor.
“Walaupun terdapat kes-kes gumpalan darah yang dilaporkan di beberapa hospital, namun kebarangkalian ia berlaku amat rendah dan saya percaya ia selamat seperti dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika sidang akhbar di Residensi Adelia, Taman Bangi Avenue, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Amirudin turut berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri, semua Yang di-Pertua Majlis Perbandaran dan Datuk Bandar serta pegawai daerah pada Sabtu berkenaan persediaan Selangor menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, antara punca kenaikan kes Covid-19 yang mencecah empat angka sejak beberapa hari lalu adalah peningkatan pengunjung ke pusat membeli-belah, bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.
“Berdasarkan penjejakan yang dibuat menerusi aplikasi MySejahtera dan SELangkah, kita dapati mereka yang positif Covid-19 mengunjungi pusat beli-belah, bazar Ramadan dan bazar Raya, di samping jumlah pengunjung mencecah lebih daripada 10,000 orang pada hari tertentu.
“Penggunaan katil di ICU meningkat sehingga hampir 60 peratus dan menghampiri tahap bahaya dengan kebanyakan kes yang dirujuk di hospital adalah pesakit Covid-19 berada pada tahap tiga dan empat.
“Paling penting, kita perlu mempercepatkan program imunisasi vaksin Covid-19 kerana jika proses vaksinasi cepat selesai, kita boleh elakkan daripada PKP dilaksanakan,” katanya.