Home Koronavirus Kelantan dijangka catat kes harian tiga angka selama 4 minggu

Kelantan dijangka catat kes harian tiga angka selama 4 minggu

0
Kelantan dijangka catat kes harian tiga angka selama 4 minggu

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangkakan negeri itu akan mencatat kes harian baharu mencecah tiga angka selama empat minggu berturut-turut berdasarkan situasi semasa Covid-19.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sejak hampir dua minggu lepas, Kelantan mencatatkan antara 400 hingga 500 setiap hari walaupun telah melaksanakan tindakan atau langkah menutup bazar Ramadan dan sekolah serta melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata berdasarkan laporan yang diterima, terdapat pertambahan kes dalam komuniti sekali gus menunjukkan COVID-19 kini sudah berada dalam kalangan masyarakat dan boleh menjangkiti orang lain.

“Keadaan ini hanya boleh diatasi sekiranya masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan dan sentiasa peka yang kita sebenarnya berhadapan dengan pandemik.

“Apa yang membimbangkan ialah tidak lama lagi kita akan menyambut Aidilfitri. Kita tidak mahu di hari raya itu kita terus melupakan tanggungjawab terhadap SOP,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Dr Zaini mengiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Dewan Jubli Perak.

Mengulas perkembangan ujian saringan Covid di Kelantan, beliau berkata, terdapat antara 700 hingga 800 ujian dilakukan setiap hari.

“Sebelum ini, kes tertangguh ialah sebanyak 3,000 tetapi sekarang sudah berkurangan kepada 1,000 kerana JKNK telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya seperti menghantar sampel ke Makmal Kesihatan Awam di Ipoh, Perak serta makmal swasta untuk diuji.

“Kini keputusan ujian dapat dikeluarkan dalam tempoh 48 jam. Daripada jumlah yang diuji, sebanyak lima hingga 10 peratus biasanya dikesan positif,” katanya.

Ditanya perkembangan kes tiga peniaga yang dikompaun sebanyak RM50,000 baru-baru ini, Dr Zaini berkata kertas siasatan sudah dihantar oleh JKNK kepada ibu pejabat di Putrajaya dan setakat ini, keputusan rayuan belum diperoleh. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here