Home Koronavirus Satu lagi vaksin Covid-19 dilulus untuk ujian klinikal

Satu lagi vaksin Covid-19 dilulus untuk ujian klinikal

0
Satu lagi vaksin Covid-19 dilulus untuk ujian klinikal

KUALA LUMPUR – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) meluluskan satu lagi kajian klinikal melibatkan vaksin Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kajian klinikal itu melibatkan produk ‘SARS-CoV-2 Vaccine (Vero Cells), Inactivated, 5μg/0.5mL’ yang dikilangkan oleh Shenzhen Kangtai Biological Products Co Ltd di China, diluluskan pada 28 Mei.

Kajian klinikal fasa tiga itu akan dijalankan di lapan pusat penyelidikan di negara ini dengan sasaran 3,000 peserta berumur 18 tahun ke atas dan dijangka mengambil masa 15 hingga 19 bulan.

“Malaysia merupakan sebuah daripada negara yang terlibat dalam kajian klinikal ini selain Colombia, Argentina, Pakistan, Filipina dan Ukraine.

“Vaksin ini juga telah diluluskan oleh negara China melalui Emergency Use Approval pada 14 Mei lepas,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, kajian klinikal vaksin Covid-19 yang dijalankan di negara ini dapat memberi maklumat klinikal berkaitan keberkesanan dan keselamatan vaksin, serta kesesuaiannya kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ia merupakan kelebihan yang diperlukan oleh kerajaan sebagai pemacu ke arah mencapai sasaran imuniti kelompok melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang giat dijalankan di seluruh negara. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here