Home Koronavirus Sabah sasar 18,000 pekerja industri pembuatan diberi vaksin

Sabah sasar 18,000 pekerja industri pembuatan diberi vaksin

0
Sabah sasar 18,000 pekerja industri pembuatan diberi vaksin

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri Sabah menyasarkan 18,000 pekerja membabitkan 407 kilang pembuatan yang berdaftar diberikan vaksin menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) yang dilaksanakan di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program itu membabitkan pekerja dalam sektor pembuatan di Kota Kinabalu dan daerah berdekatan iaitu Putatan, Penampang, Papar serta Tuaran.

“Melalui PIKAS, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma manakala pihak swasta akan menguruskan pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.

“Semua kos pengurusan PPV akan ditanggung oleh pihak swasta untuk menjimatkan peruntukan kerajaan,” katanya selepas melawat hari pertama PPV PIKAS beroperasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.

Terdapat dua jenis PPV di bawah PIKAS iaitu PPV Penggunaan Umum yang melibatkan pusat konvensyen dan pameran termasuk hotel, manakala PPV Di Tapak (On-Site) pula adalah PPV di premis kilang.

Menurut Hajiji, majikan perlu menanggung sepenuhnya kos bagi vaksinasi pekerja dan tidak dibenarkan untuk memindahkan kos vaksinasi dengan memotong gaji pekerja walaupun pekerja terbabit tidak lagi bersama syarikat itu selepas mendapat dos pertama.

“Ketika PIKAS dilaksanakan, kerajaan komited memastikan vaksinasi bagi golongan yang paling rentan dan yang telah mendaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kekal menjadi keutamaan,” katanya.

Hajiji berkata, syarikat yang berminat untuk menyertai PIKAS boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar secara dalam talian melalui www.miti.gov.my.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mempercepatkan proses PIKAS ke negeri ini dan yakin imuniti kelompok dalam sektor pembuatan dapat dicapai sekali gus mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri serta negara.

PIKAS dilancarkan untuk mempercepatkan proses vaksinasi negara dengan tujuan memberi vaksin sekurang-kurangnya dua juta pekerja dalam sektor pembuatan menjelang suku ketiga tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here