Home Koronavirus Peniaga di Seberang Perai dinasihat jalani saringan di PSC-19

Peniaga di Seberang Perai dinasihat jalani saringan di PSC-19

Peniaga di Seberang Perai dinasihat jalani saringan di PSC-19

SEBERANG JAYA – Semua peniaga di kawasan Seberang Perai diminta membuat ujian saringan Covid-19 pada Program Penang Saring Covid-19 (PSC-19) yang diadakan dua hari di dua lokasi bermula Sabtu.

Lokasi pertama adalah di Dewan Sukan dan Rekreasi Sony, manakala pada Ahad di Dewan Besar Sungai Dua, Butterworth yang bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis pada Jumaat yang meminta agar peniaga di kawasan seberang hadir ke program saringan secara percuma itu.

Menurut beliau, dengan menjalani ujian saringan, ia menambahkan keyakinan pelanggan untuk berurusan dengan peniaga kerana mereka antara golongan yang sering berdepan dengan orang ramai.

“Saya meminta semua peniaga di kawasan Seberang Perai datang ke PSC-19 yang dianjurkan kerajaan negeri ini. Selain ia percuma, kita boleh tahu siapa yang dijangkiti dengan lebih awal.

“Jika kita tahu lebih awal, maka pengasingan boleh dibuat agar tidak berjangkit dengan orang lain. Oleh demikian, saya minta semua peniaga mengambil bahagian dalam program ini.

“Walaupun bukan wajib, tetapi sekurang-kurangnya kita mengambil tanggungjawab ini sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Sukan dan Rekreasi Sony di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad.

Sementara itu, Jagdeep berkata, sehingga jam 10.45 pagi Sabtu, seramai 790 orang sudah berdaftar manakala 250 sudah menjalani ujian saringan.

“Kita mensasarkan 1,500 akan mendaftar dan disaring dalam PSC-19 yang diadakan di kawasan seberang untuk dua hari ini. Isnin lalu, PSC-19 dilancarkan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang dan sambutan menggalakkan.

“Seramai 430 orang yang hadir dan dilakukan saringan. Ujian pertama melaporkan sembilan positif, namun apabila melalui prosedur kedua, hanya tiga disahkan positif. Inilah tujuan kerajaan negeri mengadakan program seperti ini iaitu mengesan lebih awal mereka yang dijangkiti.

“Saya harap dua hari ini (Sabtu dan Ahad), mereka yang tinggal di kawasan seberang boleh hadir dan menjalani ujian saringan. Ia adalah percuma, ambillah peluang ini,” katanya.

Pada Sabtu, program PSC19 meliputi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perai, Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir. Sementara pada Ahad, ia hanya meliputi dua DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan.

Sebelum ini, PSC-19 yang dilancarkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Stadium Bandaraya Pulau Pinang mensasarkan 1,000 orang dari empat DUN iaitu Padang Kota; Datuk Keramat, Sungai Pinang dan Pulau Tikus.

Kon Yeow berkata, tujuan pelaksanaan PSC-19 adalah bagi mengenalpasti dan mengasingkan individu pembawa Covid-19 seterusnya mengawal perebakan virus tersebut.

Menurut beliau, objektif itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menurunkan jumlah kes Covid-19 dengan memutuskan rantaian jangkitan dalam kalangan komuniti.

Beliau berkata, program tersebut melibatkan keseluruhan 40 DUN yang dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri Pulau Pinang dengan kos RM3 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here