KOTA KINABALU – Sabah pada Rabu memulakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melibatkan petugas barisan hadapan, warga emas dan kumpulan berisiko tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, program itu akan dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu peringkat pertama untuk seramai 60,000 petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan sehingga 20 November ini.
Beliau berkata, bagi peringkat kedua pula, untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas serta mereka yang mempunyai komorbiditi akan bermula pada 2 November ini.
Dos penggalak itu akan diberikan secara sukarela kepada penerima, sekurang-kurangnya enam bulan selepas melengkapkan vaksinasi atau menerima dos kedua, katanya.
“Walaupun dos penggalak bukanlah satu kemestian tetapi ia sangat disarankan bagi mendapatkan perlindungan optimum daripada Covid-19,” katanya di Majlis Pelancaran Program Dos Penggalak Vaksin Covid-19 Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini pada Rabu.
Sebagai simbolik pelancaran program itu, Hajiji menerima suntikan dos penggalak diikuti menteri-menteri kabinet Sabah.
Hajiji berkata, dos penggalak itu akan diberikan di fasiliti kerajaan dan swasta di bawah pemantauan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.
Menurut Ketua Menteri itu, individu yang layak akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera manakala pusat pemberian vaksin (PPV) akan membuat pemberitahuan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon kepada mereka yang tidak memiliki aplikasi berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin ketika ditemui pemberita berkata, setakat ini jumlah PPV di negeri ini mencukupi untuk menampung program berkenaan dan penerima suntikan hanya perlu datang ke PPV atau klinik kesihatan berhampiran mereka.
“Hanya 41 PPV yang telah ditutup daripada kesemua 214 yang terdapat di Sabah. PPV Integrasi masih ada yang beroperasi selain PPV di hospital dan klinik yang masih dibuka dan mereka yang layak boleh datang ke tempat-tempat ini,” katanya. -Bernama