Home Koronavirus Rentas daerah sambut raya cetus kluster baharu di Sabah

Rentas daerah sambut raya cetus kluster baharu di Sabah

0
Rentas daerah sambut raya cetus kluster baharu di Sabah

KOTA KINABALU – Sabah pada Isnin merekodkan dua kluster baharu dengan satu daripadanya dicetuskan seorang wanita warga emas ketika menyambut Aidilfitri bersama anak-anaknya di Penampang pada 15 Mei lepas.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataannya berkata, wanita warga emas yang merupakan suri rumah berumur 68 tahun itu adalah kes indeks bagi Kluster Taman Deluxe di Penampang.

Jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 itu berkata wanita itu berasal dari Kampung Bubul Batu 2, Semporna yang telah merentas daerah untuk meraikan Hari Raya bersama anak-anaknya sebelum dikesan positif Covid-19 pada 19 Mei hasil daripada saringan bergejala.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 bagi kluster ini ialah 12 orang daripada 14 orang yang disaring…aktiviti siasatan masih diteruskan di lapangan untuk menyiasat punca jangkitan,” katanya menerusi kenyataan di sini pada malam Isnin.

Sementara itu, Masidi berkata, Kluster Kampung Padawan di Papar pula mula dikesan pada 22 Mei di Klinik Kesihatan Inanam hasil saringan bergejala, dengan kes indeks adalah seorang wanita berumur 50 tahun dari Kampung Dambai, Inanam, yang disahkan positif RTK-Ag bersama tiga anaknya.

“Susulan kes itu, enam ahli keluarga kepada kes indeks dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 10 kes. Khuatir dengan risiko tersebut, 36 saringan RTK-Ag dilakukan di klinik swasta sebagai inisiatif oleh kontak serta ahli keluarga kepada kes indeks,” katanya.

Masidi berkata Pejabat Kesihatan Daerah Papar juga telah menjalankan 113 ujian saringan RT PCR ke atas kontak rapat lain yang menghadiri majlis itu, dan berdasarkan maklumat serta penelitian awal, jangkitan Covid-19 dipercayai menular semasa majlis pengebumian di Kampung Padawan pada 17 Mei.

Majlis terbabit turut dihadiri keluarga terdekat dari beberapa daerah dengan kegagalan pematuhan prosedur operasi standard sepanjang tiga hari, termasuk aktiviti makan bersama serta berkumpul beramai-ramai pada sebelah malam, katanya.

Mengulas perkembangan Covid-19 di Sabah, Masidi berkata, sebanyak 184 kes baharu positif Covid-19 direkodkan di negeri itu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 60,562 kes, manakala seramai 88 pesakit telah sembuh menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah seramai 58,798 orang.

Dalam pada itu, Masidi turut memaklumkan kerajaan negeri menetapkan untuk menyeragamkan waktu operasi bagi restoran, kedai dan gerai makan sehingga jam 10 malam mulai Isnin.

Sebelum ini, kerajaan negeri menetapkan kedai dan gerai makan hanya boleh beroperasi sehingga jam 9 malam, manakala restoran pukul 10 malam. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here