Home Koronavirus 879,384 individu lengkapkan dua dos vaksin Covid-19

879,384 individu lengkapkan dua dos vaksin Covid-19

0
879,384 individu lengkapkan dua dos vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR – Seramai 879,384 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat Ahad, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi akaun Twitternya pada Isnin, Dr Adham berkata, seramai 1,509,103 individu pula telah menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah 2,388,487 dos setakat Ahad.

Dr Adham berkata, lima negeri yang lengkap menerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 117,920 dos diikuti Sarawak (90,741), Kuala Lumpur (88,091), Johor (80,519) dan Perak (71,984).

Setakat Ahad, sebanyak 44.10 peratus atau 10,703,736 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor terus mencatat jumlah pendaftaran tertinggi berjumlah 2,797,596 orang.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here