KOTA KINABALU – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah mengambil pendekatan menggunakan ayat dan bahasa mudah difahami selain menghidupkan watak ‘Rembo’ untuk menerangkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 di laman Facebook.
Pengarah Keselamatan Negeri MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, Rembo dihidupkan dengan unsur jenaka meletakkan watak itu pada situasi dihadapi orang ramai berdepan SOP bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul.
Beliau berkata, kaedah penceritaan dengan watak Rembo yang sinonim dengan masyarakat di Sabah selain karakternya yang digambarkan sebagai seorang berbadan sasa dan berani telah mendapat sambutan menggalakan daripada orang ramai.
“Nama Rembo dan pendekatan jenaka itu dilihat berkesan membantu mengurangkan tekanan kepada masyarakat yang perlu berhadapan situasi semasa ketika ini.
“Malah dialog tempatan juga digunakan kerana mudah difahami berbanding dengan bahasa formal selain mengubat kerinduan rakyat Sabah yang berada di Semenanjung yang mengikuti Facebook MKN Sabah,” katanya kepada Bernama pada Rabu.
Baru-baru ini tular di laman Facebook apabila MKN Sabah menceritakan dengan cara bersahaja perkara perlu dibuat watak Rembo sebagai orang Sabah dan teman wanitanya dari Semenanjung bagi mendapatkan kebenaran keluar masuk negeri ini dan prosedur serta SOP yang perlu mereka patuhi.
Sharifah Sitti Saleha berkata, dalam keadaan semasa ketika ini MKN Sabah melihat perlunya setiap peringkat masyarakat didekati dan dipermudahkan pemahaman mereka mengenai peraturan ditetapkan agar tidak berada dalam keadaan panik dan kerisauan melampau.
Beliau berkata, yang penting adalah bagaimana sesuatu mesej yang hendak disampaikan itu diterima oleh masyarakat dengan dan tepat.
Justeru, pasukan media sosial MKN Sabah membuat kajian bagaimana cara menguruskan krisis terutama dalam krisis komunikasi dan bermula dari situlah mereka meneliti dan menggabungkan kreativiti masing-masing untuk mencipta kaedah penyampaian berkesan berkenaan Covid-19.
Sharifah Sitti Saleha berkata, pengendali Facebook MKN Sabah juga sering menjawab soalan daripada pengikutnya dengan santai sebagai alternatif bagi mereka mengemukakan pertanyaan selain melalui panggilan telefon.
“Penggunaan infografik yang menarik dan ringkas berbanding teks panjang juga turut menarik perhatian pembaca,” katanya.
Sehingga kini, jumlah pengikut laman rasmi Facebook MKN Sabah telah melebihi 120,000 dan pentadbir laman sosial itu sentiasa membalas setiap komen pengikutnya dengan cara bersahaja. – Bernama