SEOUL – Bermula Oktober penduduk Korea Utara kembali menggunakan pelitup muka dan pakar kesihatan negara itu menasihatkan orang ramai supaya memakainya sebagai langkah berwaspada terhadap kemungkinan gelombang baharu Covid-19, lapor Agensi Berita Yonhap.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), di Seoul, pada Ahad menyiarkan gambar warga emas memakai pelitup muka semasa menghadiri sambutan Hari Warga Emas Antarabangsa.
Televisyen Korea juga menyiarkan rakaman pelajar universiti memakai pelitup muka sempena ulang tahun ke-76 penubuhan Universiti Kim ll-sung.
Korea Utara sebelum ini menarik balik semua arahan pemakaian pelitup muka, di dalam atau di luar bangunan. Gambar atau rakaman oleh media negara itu pada September menunjukkan orang ramai tidak lagi memakai pelitup muka di sekolah atau ketika menghadiri perayaan besar.
Bagaimanapun, pada 8 September, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka pada November, kerana tahap imuniti boleh merosot seiring penurunan suhu pada tahun itu.
Namun, kira-kira dua minggu kemudian, KCNA melaporkan pakar mengesyorkan orang ramai kembali memakainya bermula pada Oktober.
Korea Utara melaporkan kes pertama Covid-19 pada 12 Mei selepas mendakwa bebas virus itu selama lebih dua tahun dan serta-merta mengisytiharkan sistem kawalan virus ‘kecemasan maksimum’.
Kemudian pada 11 Ogos, Kim berkata langkah anti wabak Pyongyang telah berjaya melindungi rakyatnya dan mengisytiharkan negaranya bebas virus itu. – Bernama