Home Koronavirus Raja Muda Perlis titah rakyat patuhi arahan kuarantin kendiri

Raja Muda Perlis titah rakyat patuhi arahan kuarantin kendiri

0
Raja Muda Perlis titah rakyat patuhi arahan kuarantin kendiri

KANGAR – Setiap individu perlu bertanggungjawab kuarantin kendiri di rumah jika terlibat dengan aktiviti berisiko seperti merentas negeri atau menghadiri majlis kematian.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, anggota masyarakat juga wajib mematuhi arahan kuarantin yang dikeluarkan pihak kesihatan jika dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit Covid-19.

Titah baginda, seluruh masyarakat wajib untuk mematuhi arahan kuarantin jika telah dikenal pasti sebagai kontak rapat atau kes positif Covid-19 yang dikelaskan sebagai sesuai dirawat di rumah.

“Justeru, individu terbabit perlu kekal tinggal di rumah melainkan bagi mendapatkan rawatan perubatan kecemasan,” titah baginda ketika berkenan berangkat mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama agensi-agensi di bawah naungannya dengan Jabatan Kesihatan negeri yang diadakan dalam talian di sini pada Selasa.

Turut hadir, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penjagaan khusus terhadap ahli keluarga dalam kalangan warga emas dan berpenyakit kronik hendaklah terus diberikan perhatian kerana mereka amat berisiko mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr Sirajuddin Hashim berkata, setiap ketua keluarga juga perlu memainkan peranan dengan memantau status kesihatan diri dan ahli keluarga masing-masing.

Beliau turut menyeru supaya ketua keluarga perlu memastikan semua ahli keluarga mereka yang layak divaksin segera mendaftar dan mendapatkan suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) terdekat.

“Langkah tersebut amat penting kerana ia dapat melindungi ahli keluarga yang masih belum layak menerima vaksin seperti kanak-kanak dan mereka yang berpenyakit.

“Seluruh rakyat juga wajib mengamalkan norma atau kebiasaan baharu sepanjang masa dengan memastikan penggunaan pelitup muka yang betul, kerap mencuci tangan dan mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here