IPOH – Pusat Perubatan Ar-Ridzuan adalah antara hospital swasta terkini di Perak yang memberikan suntikan vaksin untuk mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pengurus Besar Kumpulan Perubatan Ar-Ridzuan, Khairul Salleh Abdul Rani berkata, seramai 50 warga emas berusia 68 hingga 79 tahun dari Daerah Kinta mula menerima dos pertama vaksin Sinovac yang bermula pada Isnin.
“Program ini dapat membantu kerajaan negeri untuk mencapai 80 peratus dalam kalangan masyarakat telah divaksin dan membentuk imuniti kelompok.
“Kita menerima panggilan berhubung pembelian vaksin, penerima perlu mendaftar dengan aplikasi MySejahtera dan vaksin ini percuma di salurkan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Menurutnya, pihaknya berupaya memberikan suntikan vaksin sebanyak 200 dos sehari dalam merealisasikan usaha kerajaan itu.
Pada masa sama, beliau mendedahkan pihaknya menyelesaikan pemberian vaksin kepada 67 pesakit hemodialisis tanpa sebarang komplikasi.
“Dos pertama diberikan pada 3 Mei lalu dan dos kedua selesai pada 24 Mei. Kesemua pesakit selamat dan tidak mengalami ketidakselesaan.
“Kita memberi jaminan bahawa suntikan vaksin ini selamat dan masyarakat tidak perlu khuatir untuk menerimanya,” katanya.
Khairul Salleh berkata, pihaknya akan menghubungi penerima vaksin agar tidak berlaku keciciran dalam program itu.
“Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan turut menghubungi penerima selain masyarakat diingatkan untuk menyemak temujanji mereka atau ibu bapa supaya tidak terlepas.
“Ketika ini kita mengendalikan penerima fasa kedua dan kita akan teruskan hingga fasa ketiga. Kita beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 4 petang termasuk cuti umum,” katanya.
Pusat perubatan itu menjadi Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta di negeri ini selepas Hospital Pantai Seri Manjung dan Hospital Pakar Komuniti Perak yang di bawah kendalian Kementerian Kesihatan.