Home Koronavirus Pulau Pinang tunggu bekalan vaksin dari kerajaan

Pulau Pinang tunggu bekalan vaksin dari kerajaan

Pulau Pinang tunggu bekalan vaksin dari kerajaan

GEORGETOWN – Pulau Pinang tidak bercadang untuk membeli bekalan vaksin susulan jaminan kerajaan Pusat berhubung pembekalan vaksin yang mencukupi untuk keperluan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jaminan pembekalan sekurang-kurangnya setengah juta dos telah diberikan ketika perjumpaan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar minggu lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri akan bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Pusat untuk memastikan bekalan vaksin kepada Pulau Pinang mencukupi.

“Oleh itu, tiada lagi isu pembelian atau kerajaan negeri akan mendapatkan sendiri bekalan vaksin. Tumpuan kita kini memastikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan tenaga manusia mencukupi bagi mencapai sasaran harian,” katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu, Kon Yeow mengadakan lawatan di Spice Arena, Bayan Baru di sini sempena hari pertama operasi PPV mega.

Turut hadir, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Kon Yeow berkata, ketika lawatannya, Khairy Jamaluddin turut memberi komitmen sasaran pemberian vaksin kepada penduduk Pulau Pinang dapat dicapai menerusi PICK.

“Kita akan bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Pusat bagi memastikan bekalan vaksin untuk Pulau Pinang mencukupi. Saya yakin matlamat untuk semua penduduk negeri ini menerima vaksin menjelang Oktober tahun ini dapat dicapai.

“Oleh itu, soal pembelian sendiri vaksin oleh kerajaan negeri tidak lagi menjadi isu,” katanya.

Sebelum ini, dalam satu sidang akhbar, Kon Yeow menuntut kerajaan Persekutuan meluluskan sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 oleh sebuah syarikat swasta untuk kegunaan rakyat di negeri ini.

Kon Yeow berkata, kebenaran itu perlu diberikan kerana kerajaan sebelum ini memberi kebenaran kepada Selangor dan Sarawak untuk mendapatkan vaksin sendiri.

Menurutnya, sebelum ini sebuah syarikat swasta pernah menawarkan untuk menyumbang dua juta dos vaksin pada Februari lalu namun apabila perkara itu dipanjangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) permohonan itu ditolak.

Khairy Jamaluddin kemudiannya mengingatkan Kon Yeow supaya tidak mempolitikkan isu vaksin selain mengesahkan selepas melakukan semakan dengan Syarikat Sinovac Biotech Ltd, tawaran sumbangan vaksin Covid-19 Sinovac kepada Kerajaan Pulau Pinang dipercayai satu ‘scam’ (penipuan).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here