Home Koronavirus Pusat jagaan ambulatori dan klinik pakar swasta terlibat PICK Fasa 2, 3

Pusat jagaan ambulatori dan klinik pakar swasta terlibat PICK Fasa 2, 3

0
Pusat jagaan ambulatori dan klinik pakar swasta terlibat PICK Fasa 2, 3

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju untuk melibatkan pusat jagaan ambulatori swasta dan klinik pakar swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 dan 3 sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dengan inisiatif itu diharapkan lebih banyak fasiliti kesihatan swasta akan terlibat dalam menjayakan PICK Fasa 2 dan 3.

Menurutnya, sebelum ini, KKM bersetuju melibatkan Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) dan Hospital Swasta.

“Pusat Jagaan Ambulatori Swasta dan Klinik Pakar Swasta yang ingin mengambil bahagian boleh berdaftar melalui Protect Health Corporation Sdn Bhd (Protect Health) di laman web www.protecthealth.com.my bermula hari ini (Khamis),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Adham berkata, pada 12 April lalu KKM bersetuju untuk melibatkan hospital swasta dalam PICK Fasa 2 dan 3 sebagai PPV.

Jelasnya, penglibatan hospital swasta itu adalah mengambil kira cadangan yang dikemukakan pihak hospital swasta yang tidak mahu terkecuali dalam menggembleng tenaga bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Malaysia diberikan imunisasi Covid-19 dicapai segera.

“Oleh itu, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma kepada hospital swasta bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat.

“Mana-mana hospital swasta yang ingin mengambil bahagian boleh berdaftar melalui Protect Health Corporation Sdn Bhd (Protect Health) di laman web www.protecthealth.com.my juga bermula hari ini (Khamis).

“Melalui laman web tersebut juga, hospital swasta boleh mendapatkan maklumat berkaitan kaedah vaksinasi, skop tugas, keperluan, kadar bayaran dan kaedah pembayaran,” kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Hospital swasta dilibatkan sebagai Pusat Pemberian Vaksin: Dr Adham

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here