Home Koronavirus Pulau Pinang tingkat kadar pemberian dos pertama vaksin Covid-19

Pulau Pinang tingkat kadar pemberian dos pertama vaksin Covid-19

0
Pulau Pinang tingkat kadar pemberian dos pertama vaksin Covid-19

GEORGE TOWN – Kadar pemberian dos pertama vaksin Covid-19 di Pulau Pinang akan meningkat tidak lama lagi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebelum ini, tiga hospital di Pulau Pinang belum memulakan program vaksinasi itu.

“Baru-baru ini, saya dimaklumkan ketiga-tiga hospital itu baru sahaja memulakan program vaksinasi mereka, yang saya percaya akan membantu meningkatkan kadar pemberian dos pertama vaksin Covid-19 di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di sini.

Kon Yeow berkata, beliau telah mencadangkan pengamal perubatan swasta untuk mengambil bahagian dalam program vaksinasi itu semasa sesi pihak berkepentingan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Khairy mengetahui cadangan itu dan mengalu-alukannya, tetapi adalah lebih baik bagi beliau untuk mengumumkan secara rasmi sektor penjagaan kesihatan swasta yang telah dikenal pasti untuk mengambil bahagian dalam program vaksinasi itu,” katanya.

Sehingga 11 Mac seramai 12,608 individu di Pulau Pinang telah menerima suntikan dos pertama, menurut data Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19.

Kon Yeow berucap pada majlis pelancaran pejabat baharu Digital Penang di Wisma Yeap Chor Ee, di sini serta pelancaran Pelan Induk Transformasi Digital.

Dalam ucapannya beliau berkata, negeri itu dijangka membelanjakan lebih RM50 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk menjayakan Pelan Induk Transformasi Digital tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Tony Yeoh berkata, pelan induk itu terbahagi kepada empat tonggak strategik termasuk tadbir urus, ekonomi, komuniti dan infrastruktur.

“Setakat ini kami telah mencapai kemajuan dalam ‘komuniti’ transformasi digital dengan menggalakkan penggunaan digital dalam kalangan rakyat Pulau Pinang dan mendidik mereka tentang cara menggunakan aplikasi seperti Penang Smart Parking (PSP) dan membuat e-pembayaran,” katanya.

Beliau menambah, sepanjang enam bulan lepas, kira-kira 15,000 warga Pulau Pinang telah mendapat hebahan mengenai projek transformasi digital bertemakan komuniti itu. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here