Home Koronavirus Pulau Pinang laksana program ‘outreach’ kesan individu belum vaksin

Pulau Pinang laksana program ‘outreach’ kesan individu belum vaksin

0
Pulau Pinang laksana program ‘outreach’ kesan individu belum vaksin

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menggiatkan program outreach bagi mengesan kira-kira 55,000 atau 4.4 peratus populasi dewasa di negeri ini yang belum divaksinasi terutama mereka yang tidak dapat hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19.

Exco Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, usaha itu dibuat secara berterusan bagi memastikan sasaran 80 peratus populasi dewasa di negeri ini divaksinasi dapat segera dicapai, seterusnya sehingga 100 peratus.

“Mungkin ada antara golongan ini mempunyai masalah kesihatan, tiada kenderaan atau ada isu lain yang membuatkan mereka tidak datang untuk mendapatkan vaksin, jadi kami cuba bantu dengan pergi ke rumah supaya mereka menerima suntikan,” katanya dalam sidang akhbar menerusi aplikasi Zoom, di sini pada Jumaat.

Katanya, menerusi program outreach yang dijalankan sebelum ini, 14,910 individu di 28 lokaliti di seluruh negeri termasuk mereka yang terlantar sakit, warga emas dan tiada kenderaan telah menerima vaksin Covid-19.

“Daripada jumlah itu, 4,417 orang membabitkan penghuni dan kakitangan di 145 pusat jagaan warga emas, manakala 405 individu terlantar sakit,” katanya.

Norlela berkata, setakat ini, 59.1 peratus atau 1.04 juta populasi dewasa di Pulau Pinang telah lengkap dua dos manakala 73.4 peratus atau 1.3 juta menerima satu dos vaksin, dengan 10.9 peratus atau 141,332 orang daripadanya adalah warga asing termasuk 2,362 pendatang tanpa izin.

“Rakyat tempatan dan warga asing termasuk pendatang tanpa izin yang belum divaksinasi adalah digalakkan untuk mendapatkan vaksin di PPV secara jumpa terus (walk-in),” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here