Home Koronavirus Pulau Pinang harap lima lagi PPV ditambah selepas Aidilfitri

Pulau Pinang harap lima lagi PPV ditambah selepas Aidilfitri

0
Pulau Pinang harap lima lagi PPV ditambah selepas Aidilfitri

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang berharap lima lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dapat dibuka di negeri ini dalam usaha mempercepatkan pemberian vaksin bagi Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, tambahan lima PPV itu dicadang beroperasi selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan, namun tertakluk kepada kelulusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) turut akan menyediakan perkhidmatan bergerak berasaskan keperluan pusat dan rumah jagaan warga emas di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Setakat ini, lima dewan telah dijadikan PPV iaitu di Kompleks Masyarakat Penyayang di Daerah Timur Laut; Kompleks Sukan Balik Pulau (Barat Daya); Dewan Millennium di Kepala Batas (Seberang Perai Utara), Dewan Serbaguna Jawi (Seberang Perai Selatan) dan Pusat Konvensyen Arena Seberang Perai (Seberang Perai Tengah).

Beliau berkata, mengikut data JKNPP sehingga Ahad lepas, Pulau Pinang mencatatkan jumlah penerima vaksin sebanyak 8,923 orang bagi Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dimulakan sejak 19 April lepas.

Sementara itu, Chow berkata sehingga Isnin, Pulau Pinang mencatatkan 14 kluster aktif dengan lapan melibatkan sektor perkilangan, sosial (dua), pendidikan (dua), pusat tahanan (satu) dan lain-lain (satu).

Beliau juga berharap MOSTI dengan penyelarasan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat menyegerakan program imunisasi dalam kalangan barisan hadapan ekonomi. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here