GEORGETOWN – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK-Remaja) peringkat Pulau Pinang membabitkan pelajar berusia 16 hingga 17 tahun dijangka berakhir pada hujung bulan ini.
Susulan itu, program terbabit akan disambung bagi mereka yang berusia 12 hingga 15 tahun (pelajar sekolah) yang akan bermula pada Rabu ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), jumlah keseluruhan remaja berusia 16 hingga 17 tahun (pelajar dan bukan pelajar) di negeri ini adalah seramai 43,000 orang, manakala mereka yang berumur 12 hingga 15 tahun seramai 93,000.
“Justeru kerajaan negeri dengan kerjasama sama JKNPP akan menambah jumlah serta kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada bagi mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, penurunan jumlah kes positif Covid-19 kepada tiga angka di Pulau Pinang sejak Ahad telah menunjukkan keberkesanan vaksinasi yang dijalankan sehingga kini.
Menurutnya, kejayaan itu juga hasil strategi bersama-sama kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta JKNPP dalam melawan penularan COVID-19 di negeri ini.
“Kerajaan negeri juga mendapat kerjasama penuh daripada KKM berhubung penghantaran sumber tenaga perubatan dari negeri-negeri lain yang kini berjumlah kira-kira 250 orang.
“Selain itu, peralatan perubatan bagi keperluan hospital-hospital di sini juga telah ditambah baik termasuk pengoperasian hospital medan yang dilengkapi dengan 100 katil di tapak parkir Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.