Home Koronavirus PPV pertama dalam markas PDRM beroperasi esok

PPV pertama dalam markas PDRM beroperasi esok

0
PPV pertama dalam markas PDRM beroperasi esok

IPOH – Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) kini sedia sepenuhnya untuk beroperasi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV), yang pertama seumpamanya di dalam markas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, PPV yang mula beroperasi esok itu akan memberikan perkhidmatan suntikan vaksin Covid-19 kepada warga Briged Utara dan ahli keluarga mereka serta pasukan beruniform keselamatan dan pertahanan negara.

“Setakat ini kira-kira 1,500 penerima mendaftar untuk disuntik di sini (Klinik Briged Utara PGA). Kami anggarkan seramai 130 penerima vaksin Covid-19 sehari dan sekiranya esok berjalan lancar, berkemungkinan kita akan menambah lebih ramai penerima vaksin dalam sehari.

“Klinik Briged Utara PGA ini menjadi perintis dan contoh kepada klinik PDRM yang lain bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada masyarakat dalam usaha mengurangkan penularan wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui Bernama pada Isnin.

Beliau berkata, PPV itu juga akan dibuka kepada orang awam yang tinggal berhampiran Tanjung Rambutan seperti ibu mengandung di sekitar bandar raya ini bagi menerima dos pertama kerana lokasinya yang lebih dekat berbanding PPV Stadium Indera Mulia, di sini, yang mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan.

Mohd Noh berkata, kesiapsiagaan Klinik Briged Utara untuk beroperasi sebagai PPV diukur berdasarkan keupayaan seperti peralatan dan kelengkapan yang mencukupi termasuk peti penyimpanan vaksin, bilik suntikan, tempat pemantauan serta kemudahan lain.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Briged PGA, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Perak meluluskan permohonan klinik ibu dan anak itu diangkat menjadi PPV pada 8 Julai.

“Setakat ini persiapan dan persediaan telah mencapai 85 peratus sebelum hari pembukaan PPV secara rasmi esok. Antara persiapan terakhir adalah raptai gimik pelancaran bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar.

“Bagi memastikan kelancaran, pihak kami menyediakan tiga van bergerak yang akan membawa penerima (suntikan) daripada tempat berkumpul di padang golf ke klinik ini. Penerima tidak perlu berebut tempat meletak kenderaan,” katanya.

Saidu Kenchi berkata, segala proses vaksinasi akan diuruskan sepenuhnya staf klinik sendiri dan pemberi vaksin terdiri daripada Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat Terlatih selain turut mengasingkan bilik penerima vaksin bagi lelaki dan perempuan.

Dalam pada itu, Bernama sempat meninjau persiapan pembukaan PPV itu termasuk penerimaan 1,000 dos vaksin yang dibawa masuk ke klinik berkenaan pagi tadi sebelum disimpan di bilik peti penyimpanan vaksin. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here