Home Koronavirus PPV Bergerak guna 25 bas khas diperluas ke seluruh Semenanjung

PPV Bergerak guna 25 bas khas diperluas ke seluruh Semenanjung

0
PPV Bergerak guna 25 bas khas diperluas ke seluruh Semenanjung

ALOR GAJAH – Unit Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak menggunakan 25 bas khas akan diperluaskan ke seluruh Semenanjung Malaysia secara berperingkat menerusi program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, Unit PPV Bergerak telah dilancarkan di Kluang, Johor pada 10 Julai lepas sebelum diperluaskan di Melaka pada Sabtu.

Inisiatif Unit PPV Bergerak itu sebahagian pendekatan yang dilaksanakan di bawah program MOVAK yang merangkumi tiga lagi inisiatif iaitu Unit Panggilan, Unit Mobilisasi dan Unit Tindakan Komuniti bagi membantu kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi khususnya masyarakat luar bandar, ladang dan pinggir bandar.

“Secara keseluruhan, sebanyak 38,754 penerima vaksin di seluruh negara telah menerima suntikan masing-masing menerusi MOVAK sejak program itu dilancarkan pada pertengahan Jun lepas hingga hari ini dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kita berharap kadar vaksinasi Covid-19 di negara ini dapat ditingkatkan lagi menerusi inisiatif Unit PPV Bergerak ini selaras dengan peningkatan penerimaan vaksin yang mencecah 14 juta dos pada bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kuala Linggi di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman.

Mengulas lanjut, Halimah berkata, jumlah Unit PPV Bergerak atau bas khas berkenaan akan digerakkan di setiap negeri mengikut keperluan atau cadangan yang dikemukakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di setiap negeri.

Bas khas tersebut telah diubah suai mengikut spesifikasi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi memberi keselesaan kepada vaksinator dan penerima vaksin. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here