Home Koronavirus ‘Abah ‘pergi’ dalam tempoh amat singkat

‘Abah ‘pergi’ dalam tempoh amat singkat

0
‘Abah ‘pergi’ dalam tempoh amat singkat

SHAH ALAM – Anak kepada mangsa kematian akibat Covid-19, Nor Sofia Adila, 26, meluahkan rasa sedih kerana kehilangan bapanya Mustaffa Noor, 58, dalam tempoh yang amat singkat.

Anak ketiga dari empat beradik itu berkata, tidak pernah terlintas di fikiran, bapa akan meninggalkan mereka disebabkan wabak Covid-19 selepas bertarung nyawa selama empat hari.

“Saya dan keluarga ingatkan selepas menghantar abah ke Unit Kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) malam (12 Julai) itu abah boleh balik ke rumah semula tetapi tidak.

“Kami sekeluarga positif sebab abah nampak okey, dia boleh berjalan sendiri ke Unit Kecemasan walaupun sukar bernafas sejak pagi Isnin (12 Julai),” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Nor Sofia merupakan antara waris 12 pesakit dari HTAR yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Seksyen 21, Shah Alam pada Jumaat malam.

Dia berkata, bapanya menguruskan perniagaan katering dan dipercayai dijangkiti virus Covid-19 daripada salah seorang rakannya selepas mengalami demam minggu lalu.

“Kami hanya mengetahui status sebenar abah selepas abah menjalani swab test (ujian calitan) pada 12 Julai. Selepas didapati positif kami terus bawa abah ke Unit Kecemasan HTAR Klang,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Sofia turut memaklumkan arwah bapanya itu turut menangguhkan untuk menerima suntikan vaksin yang dijadualkan pada awal bulan ini untuk memberi peluang kepada orang lain.

“Hanya ibu sahaja yang mengambil suntikan (dos pertama) itu,” katanya yang kini tinggal di Taman Sentosa, Klang selepas berumahtangga.

Nor Sofia bagaimanapun bersyukur kerana arwah pergi dalam keadaan paling tenang pada Jumaat malah pengurusan jenazah yang biasanya agak panjang dapat dijalankan pada hari yang sama.

“Kami sekeluarga dimaklumkan oleh pihak HTAR abah meninggal dunia jam 3 pagi pada Jumaat dan kami juga bersyukur kerana dimaklumkan abah dapat dikebumikan pada hari yang sama.

“Kami kemudiannya menunggu di Tanah Perkuburan Islam di Seksyen 21, Shah Alam sebelum dua ahli keluarga dibenarkan masuk pada jarak yang ditetapkan untuk melihat urusan pengebumian,” katanya.

Suasana di Tanah Perkuburan Islam di Seksyen 21 dekat sini juga dilaporkan ‘sibuk’ berbanding hari biasa, apabila deretan van jenazah dilihat keluar masuk bagi proses pengebumian jenazah Covid-19.

Tinjauan media di lokasi mendapati enam van jenazah diiringi polis tiba di tanah perkuburan itu sekitar jam 7.40 malam, diikuti enam lagi pada jam 9.20 malam menjadikan seramai 12 jenazah pesakit Covid-19 dikebumikan malam tadi.

Tinjauan juga mendapati ahli keluarga pesakit Covid -19 berkumpul di luar kawasan perkuburan terbabit dan difahamkan hanya dua ahli keluarga atau waris dibenarkan masuk untuk melihat proses pengebumian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here