Home Koronavirus PPIK sedia bantu kerajaan naikkan peratus vaksin di Kelantan

PPIK sedia bantu kerajaan naikkan peratus vaksin di Kelantan

0
PPIK sedia bantu kerajaan naikkan peratus vaksin di Kelantan

KOTA BHARU – Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) bersedia membantu kerajaan meningkatkan kadar peratusan vaksinasi di negeri ini.

Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, pihaknya akan menggunakan segala kepakaran yang ada untuk membantu memujuk golongan yang tidak mahu divaksin dengan memberi vaksin jenis CanSino kerana vaksin itu hanya satu dos.

“Saya amat berharap pihak kerajaan memberi peluang kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu menaikkan peratusan imunisasi Covid-19 di Kelantan,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Menurutnya, pertambahan jumlah kes yang masih tinggi amat membimbangkan PPIK sedangkan jumlah vaksinasi masih lagi rendah.

Beliau berkata, situasi itu akan memberi kesan kepada individu dan masyarakat sekeliling.

Mohd Fared berkata, lebih 2,000 ahli PPIK akan digerakkan dalam menjayakan program ini bersama dengan NGO lain untuk turun padang berjumpa masyarakat terutama di kawasan pondok pengajian agama dan pedalaman yang dilihat masih ramai tidak menerima vaksin.

“Hasil pemerhatian dan turun padang oleh pihak kami, saya mengesan wujud individu yang tidak mahu divaksinasi kerana mereka trypanophobia atau fobia terhadap jarum suntikan.

“Pendekatan kempen yang dilakukan pelbagai pihak juga kurang berkesan untuk menarik golongan antivaksin untuk mendapatkan vaksinasi,” katanya.

Menurutnya, pendekatan kekeluargaan akan diguna pakai dalam memujuk individu yang enggan mengambil suntikan supaya menerima vaksin.

Katanya, disebabkan itu pihaknya (PPIK) ingin menawarkan khidmat untuk membantu meningkatkan kadar peratusan vaksinasi di negeri ini.

Beliau berkata, kadar vaksinasi lengkap di Kelantan masih lagi rendah iaitu 81.2 peratus bagi populasi dewasa sehingga Ahad.

“Peratusan itu menunjukkan jumlah vaksin di negeri ini masih lagi rendah berbanding negeri-negeri lain yang sudah melebihi 90 peratus,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here