Home Koronavirus PKPD Mukim Manir: Polis tutup lapan jalan utama

PKPD Mukim Manir: Polis tutup lapan jalan utama

0
PKPD Mukim Manir: Polis tutup lapan jalan utama

KUALA TERENGGANU – Polis menutup lapan jalan utama di dalam kawasan Mukim Manir, di sini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuat kuasa pada Khamis sehingga 18 Ogos ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, jalan terbabit melibatkan Jalan Manir Pulau Bahagia-Telemong (berhampiran tangki air Pulau Bahagia); Jalan Padang Tengir- Kubang Bujuk (Jambatan Kubang Bujuk); Jalan Kebor Besar-Guntong Telar (berhampiran jambatan Kebor Besar) dan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Jambatan Buluh Gading).

Selain itu, Abdul Rahim berkata, empat jalan lagi termasuk Jalan Kampung Sabtu-Jeram (lampu isyarat bawah lebuhraya Pulau Sekati); susur keluar masuk lebuhraya Pulau Sekati (Kampung Kubang Jela); susur keluar dan masuk lebuhraya Pulau Sekati (Taman Cikgu Ismail Yusof) dan susur keluar dan masuk lebuhraya Pulau Sekati (Kampung Banggol Donas).

Menurutnya, polis juga akan mengadakan satu sekatan jalan raya (SJR) di Jambatan Manir dan akan menutup 20 laluan kampung di dalam kawasan PKPD.

“Memandangkan semua jalan dan laluan di Mukim Manir akan ditutup sepenuhnya, maka laluan keluar dan masuk hanya boleh dibuat melalui Jambatan Sungai Manir sahaja.

“Segala pergerakan keluar dan masuk hendaklah mempunyai dokumen-dokumen lengkap seperti untuk bekerja (perkhidmatan perlu) atau surat kebenaran daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Sehubungan itu, kita akan menempatkan pusat kawalan PDRM di Balai Polis Manir bagi memudahkan penduduk mendapatkan kebenaran keluar masuk di kawasan PKPD atas sebab kecemasan atau sebab dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Abdul Rahim menasihatkan kepada pengguna jalan raya yang lain supaya menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan dari melalui kawasan PKPD.

“Jika dari pusat bandar hendak ke Batu Enam atau Batu Enam ke pusat bandar, mereka boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jambatan Sultan Mahmud- Batu Enam atau Batu Enam- Jambatan Sultan Mahmud.

“Selain itu, jika dari pusat bandar ke Kuala Nerus atau Tol Gemuruh atau Setiu, mereka boleh menggunakan jalan alternatif Pusat Bandar-Bulatan Kampung Paloh-Lebuhraya Pulau Sekati dan sekiranya dari Kuala Nerus/ Tol Gemuruh/Setiu ke pusat bandar, pengguna boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Lebuhraya Sekati-Bulatan Kampung Paloh-Pusat Bandar,” jelasnya.

Bagi penduduk di Mukim Belara pula yang hendak ke pusat bandar atau ke Kuala Nerus/Tol Gemuruh/ Setiu, beliau berkata, mereka boleh menggunakan jalan alternatif seperti berikut iaitu dari Mukim Belara ke Pusat Bandar boleh melalui Jalan Banggol Peradong- lebuhraya Sekati- Pusat Bandar.

“Dari pusat bandar hendak ke Mukim Belara pula, mereka boleh guna jalan alternatif pusat bandar, Lebuhraya Sekati-Jalan Banggol Peradong; Mukim Belara ke Kuala Nerus/Tol Gemuruh/Setiu atau dari Kuala Nerus/Tol Gemuruh/ Setiu ke Mukim Belara, mereka boleh menggunakan jalan alternatif Jalan Banggol Peradong-Bukit Jong,” ujarnya

Sementara itu, beliau turut menasihati penduduk supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan tidak mengalih, mengubah atau merosakkan penghadang jalan yang ditempatkan di kawasan PKPD.

Katanya, perbuatan demikian boleh menyebabkan mereka didakwa mengikut peruntukan undang-undang dan penduduk juga dinasihatkan agar dapat mengurangkan pergerakan kecuali atas urusan penting.

“Pihak polis akan membuat rondaan dan pemantauan dari masa ke masa bagi mengenal pasti lorong-lorong yang masih digunakan orang ramai bagi tujuan keluar masuk ke kawasan PKPD,” tegasnya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan PKPD selama dua minggu di sembilan lokaliti, masing-masing empat di Sabah, tiga di Terengganu dan dua di Pahang, mulai Khamis hingga 18 Ogos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here