Home Koronavirus Kes Covid-19 di Thailand lepasi angka 20,000

Kes Covid-19 di Thailand lepasi angka 20,000

0
Kes Covid-19 di Thailand lepasi angka 20,000

BANGKOK – Ketika Thailand meningkatkan pengesanan kes aktif untuk membendung kenaikan ketara kes Covid-19, kes baharu terus mencatat rekod tertinggi pada Rabu dengan 20,200 jangkitan dan 188 kematian.

Kes dan kematian baharu terus meningkat, meskipun sekatan lebih ketat dikenakan termasuk perintah berkurung pada waktu malam selama tujuh jam, penutupan perniagaan dan tempat, sejak 12 Julai lalu.

Sehingga kini, Thailand telah mencatat 672,385 kes dan 5,503 kematian sejak pandemik bermula di negara ini Januari tahun lalu.

Berikutan lonjakan kes dan diburukkan lagi dengan varian Delta, Kementerian Kesihatan Awam Thailand dan pertubuhan bukan kerajaan Rural Doctor Society (RDS) telah menubuhkan 200 Pasukan Tindak Cepat Komprehensif Covid-19 (CCRT) untuk melakukan ujian saringan Covid-19 di Bangkok, pusat pandemik terbaharu.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Dr Kiattiphum Wongrajit berkata, pasukan CCRT termasuk doktor, jururawat, ahli farmasi dan ahli teknologi perubatan telah melakukan ujian pengesanan kes aktif di komuniti yang padat di Bangkok mulai hari ini hingga 10 Ogos.

“Kami menyasarkan untuk menyaring 250,000 orang dalam tujuh hari dan menjangkakan sekitar 15 peratus atau 32,500 mungkin positif Covid-19,” katanya pada sidang media.

Dr Kiattiphum berkata, CCRT akan melakukan ujian dan membantu mengasingkan individu yang dijangkiti daripada komuniti mereka secepat mungkin untuk menghalang virus daripada terus merebak.

“Pasukan CCRT akan menghantar kes yang teruk ke hospital dan melakukan saringan terhadap kontak rapat,” katanya.

Sementara itu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memaklumkan daripada 20,200 kes baharu, 3,708 dikesan melalui pengesanan kes aktif. Jumlah itu merangkumi 187 banduan dan 21 kes import.

Mengenai kes kematian baharu itu ia melibatkan 90 lelaki dan 98 wanita berusia antara 22 hingga 95 tahun, termasuk masing-masing seorang warga India dan Kemboja.

“Empat daripadanya meninggal dunia di rumah atau dalam perjalanan ke hospital,” menurut CCSA.

Bangkok kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 4,118 kes baharu dan 92 kematian.

Setakat ini, sebanyak 18.58 juta dos vaksin telah diberikan sejak kempen vaksinasi dimulakan pada 28 Februari. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here