Home Koronavirus PKPD di tiga kawasan dilanjutkan, dua ditamatkan

PKPD di tiga kawasan dilanjutkan, dua ditamatkan

0
PKPD di tiga kawasan dilanjutkan, dua ditamatkan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari lagi di empat kawasan di Sabah dan menamatkan PKPD di dua lagi kawasan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelanjutan itu membabitkan empat lokaliti di Tawau iaitu Kampung Ranggu Batu 10, Fasa 2 Taman Semarak, Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Simpang 3A.

“PKPD di Kampung Ranggu Batu 10, Fasa 2 Taman Semarak dan Kampung Baru Pasir Putih dijadualkan tamat esok (14 April) manakala di Kampung Simpang 3A tamat Khamis ini.

“Bagaimanapun, ia dilanjutkan mulai 15 dan 16 April ini hingga 28 dan 29 April depan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan, ia dilanjutkan ekoran masih terdapat baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk kampung di kawasan itu.

Menurutnya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 265 ujian saringan di Kampung Ranggu dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 66 kes positif Covid-19 telah direkodkan dan terdapat 122 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Sebanyak 160 ujian saringan pula dijalankan di Fasa 2 Taman Semarak dan daripada jumlah itu, sebanyak lapan kes positif Covid-19 telah direkodkan dan terdapat 99 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan.

“Sementara itu, sebanyak 847 ujian saringan dilakukan di Kampung Baru Pasit Putih dan daripada jumlah itu sebanyak 68 kes positif Covid-19 telah direkodkan dengan masih terdapat 441 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan

“Di Kampung Simpang 3A pula sebanyak 745 ujian saringan dijalankan dan secara kumulatif sebanyak 28 kes positif dicatatkan dengan masih terdapat 696 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Kilang YTY dan Asrama Pekerja, Lekir, Setiawan, Perak serta Kampung Rimbayan, Keningau, Sabah ditamatkan pada Khamis ini seperti yang dijadualkan.

“KKM telah melaksanakan 1,248 ujian saringan di Kilang YTY dan Asrama Pekerja, Lekir dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 647 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM juga mengesahkan tiada lagi kes baharu dilaporkan sejak 6 April lalu dan kesemua kontak rapat akan tamat HSO pada 15 April ini,” ujarnya.

Di Kampung Rimbayan pula, jelasnya, sebanyak 304 ujian saringan dijalankan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 43 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

Katanya, KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti berkenaan menunjukkan trend penurunan serta kesemua kes positif telah menerima rawatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here