Home Koronavirus PKPD: 279 penduduk Kampung Bangkahulu disaring berperingkat

PKPD: 279 penduduk Kampung Bangkahulu disaring berperingkat

0
PKPD: 279 penduduk Kampung Bangkahulu disaring berperingkat

TAMPIN – Kira-kira 279 penduduk di Kampung Bangkahulu, Gemas di sini akan menjalani ujian saringan Covid-19 secara berperingkat bermula Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, setakat ini seramai 195 penduduk telah disaring selepas terdapat 39 penduduk dikesan positif Covid-19 pada 15 April lepas.

“Penduduk di situ dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Khamis sehingga 12 Mei bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Mereka (penduduk) juga tidak perlu bimbang mengenai bekalan makanan sepanjang tempoh PKPD kerana mencukupi untuk semua isi rumah di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, penduduk kampung berkenaan perlu menghadapi PKPD selama 14 hari iaitu kira-kira dua minggu lagi umat Islam menyambut Aidilfitri.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan itu mendapati suasana sunyi selain tiada pergerakan kereta keluar masuk dari pintu utama memasuki kampung tersebut.

Beberapa laluan keluar dan masuk kawasan dipasang kawad berduri petang Rabu dan terdapat pos pemeriksaan yang menempatkan anggota polis serta tentera.

Dalam pada itu, seorang lelaki berusia 31 tahun dikenali sebagai Zaki dilihat menghantar lampin bayi di pos pemeriksaan di pintu utama kampung berkenaan untuk diserahkan kepada rakannya.

Zaki berharap penduduk kampung tabah menjalani tempoh PKPD dengan penuh sabar selain mematuhi segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pada Rabu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di sembilan lokasi seluruh negara membabitkan tujuh lokasi di Pahang, masing-masing satu di Kelantan dan Negeri Sembilan.

Di Negeri Sembilan, pelaksanaan PKPD di Kampung Bangkahulu,Gemas bermula Khamis hingga 12 Mei depan untuk menyekat pergerakan keluar masuk bagi memastikan tiada penyebaran jangkitan keluar ke komuniti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here