Home Koronavirus Pendaftaran suntikan vaksin di Johor hanya 41 peratus

Pendaftaran suntikan vaksin di Johor hanya 41 peratus

0
Pendaftaran suntikan vaksin di Johor hanya 41 peratus

JOHOR BAHRU- Pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera hanya 41 peratus atau kira-kira 1.1 juta individu di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, jumlah itu masih rendah berbanding keseluruhan 2.9 juta individu yang layak menerima vaksin berkenaan di Johor.

“Kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 70 peratus daripada individu yang layak menerima vaksin Covid-19 di negeri ini akan dicapai.

“Program kesedaran bagi menggalakkan anggota masyarakat mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 akan dipergiatkan kerajaan negeri. Ini termasuklah kerjasama antara jawatankuasa di peringkat negeri dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan hari pertama suntikan vaksin Covid-19 fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri di Dewan Muafakat Taman Adda, di sini pada Khamis.

Hadir sama Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Aman Rabu.

Dalam pada itu, Hasni memberitahu, seramai 4,000 individu yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 akan menerima vaksin berkenaan setiap hari bagi fasa kedua.

“Seramai 2,000 individu menerima vaksin Covid-19 pada hari ini (Khamis). Kerajaan negeri menyasarkan seramai 600,000 individu akan menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi fasa kedua ini.

“Sebanyak 21 pusat pemberian vaksin akan digunakan bagi fasa kedua di mana sembilan daripadanya merupakan fasiliti kesihatan sementara 12 lagi bukan fasiliti kesihatan seperti dewan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here