Home Koronavirus PKPB di Sarawak dilanjut sehingga 29 Mac

PKPB di Sarawak dilanjut sehingga 29 Mac

0
PKPB di Sarawak dilanjut sehingga 29 Mac

KUCHING – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 16 hingga 29 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu dibuat setelah melihat dan menilai situasi kes positif di Sarawak yang masih tinggi.

“Serentak dengan itu prosedur operasi standard (SOP) akan ditambah baik dan perinciannya akan diumumkan selepas diwartakan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini pada Jumaat.

Beliau turut mengumumkan hari ini terdapat 173 kes baharu Covid-19 dikesan di Sarawak, dengan Daerah Sibu mencatat 71 kes, Miri (19), Bintulu (16), Kuching (15), Meradong (10), Serian (sembilan), Julau (tujuh), Kapit (lima), Tanjung Manis (lima), Betong (tiga), Belaga (dua), Mukah (dua), Sri Aman (dua), Subis (dua), Telang Usan (dua), Dalat (satu), Samarahan (satu) dan Sarikei (satu).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 12,051 kes dan daripada 173 kes baharu yang dilaporkan, hanya seramai 19 orang atau 10.98 peratus yang telah menunjukkan tanda-tanda dan mengalami tanda-tanda jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan.

Pada Jumaat, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan tiga kluster baharu iaitu Kluster Jalan Main Bazaar di Daerah Sri Aman, Kluster Buluh Pasi di Daerah Meradong dan Kluster Sena di Daerah Miri.

Sementara itu, Uggah berkata, kerajaan negeri bersedia untuk membeli vaksin tambahan menggunakan peruntukannya sendiri dan menambah kerajaan Pusat positif terhadap cadangan itu.

Beliau juga mengakui bahawa bilangan jangkitan Covid-19 agak tinggi di rumah panjang dan kampung di kawasan luar bandar selain kaedah kuarantin di kedua-dua lokasi itu tidak lagi diguna pakai setelah didapati kurang efektif. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here