Home Koronavirus Individu dikompaun RM10,000 boleh buat rayuan: Ismail Sabri

Individu dikompaun RM10,000 boleh buat rayuan: Ismail Sabri

0
Individu dikompaun RM10,000 boleh buat rayuan: Ismail Sabri

ALOR SETAR – Individu yang dikenakan kompaun RM10,000 bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan membuat rayuan pengurangan jumlah kompaun di Pejabat Kesihatan Daerah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rayuan itu boleh dikemukakan bagi kesalahan kecil dan bersyarat.

Menurutnya, kesalahan yang dikategorikan sebagai pelanggaran SOP melampau sahaja akan dikenakan kompaun sehingga maksimum RM10,000.

“Beberapa kesalahan saja dikenakan RM10,000 iaitu kesalahan berulang oleh individu sama.

“Pelanggaran SOP yang melampau pula adalah seperti membuka kelab malam, yang kita tidak benarkan beroperasi sejak PKP, namun ada sahaja tangkapan dibuat akibat pemiliknya berdegil,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Md Salleh Ahamad sempena program Cakna Veteran ATM di Pantai Johor pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata, keputusan tegas itu perlu dikenakan terhadap individu yang degil, contohnya pengunjung kelab malam boleh dikenakan kompaun RM10,000 manakala pemilik kelab malam sehingga RM50,000.

“Kalau kesalahan kecil seperti tak pakai pelitup muka, dendanya tak sampai hingga RM10,000. Cuma dalam kertas saman perlu ditulis denda berdasarkan seksyen berkaitan, iaitu maksimum RM10,000. Mereka boleh kemuka rayuan ketika mahu bayar kompaun untuk pengurangan denda,” katanya.

Menurutnya, ini adalah keseriusan kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 dan tidak berniat untuk membebankan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, veteran ATM akan diberikan keutamaan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa kedua kelak.

“Saya percaya veteran ATM berumur 60 tahun ke atas, dan mereka akan berada dalam kumpulan awal fasa kedua bersama kumpulan pesakit kronik dan warga emas,” katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada individu yang melanggar SOP PKP secara berulang, namun jumlah sebenar kompaun tertakluk kepada budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) jika pesalah membuat rayuan.

Kerajaan mewartakan jumlah kesalahan kompaun terhadap mereka yang melanggar SOP sebanyak RM10,000 berbanding RM1,000 sebelum ini susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan bermula semalam (Khamis).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here