Home Koronavirus Pesakit ramai punca pertambahan katil di luar hospital

Pesakit ramai punca pertambahan katil di luar hospital

Pesakit ramai punca pertambahan katil di luar hospital

SHAH ALAM – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor memaklumkan terpaksa melakukan pertambahan katil di luar Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk sementara waktu seperti yang tular di Facebook pada Rabu.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, bagaimanapun, semua pesakit di hospital itu telah menerima rawatan terlebih dahulu di Jabatan Kecemasan sementara menunggu katil di wad.

Menurutnya, pada masa ini, HTAR Klang dan Hospital Shah Alam dalam proses menambah kapasiti katil di hospital masing-masing.

“Penambahan bilangan katil juga sedang diusahakan melalui pengaktifan hospital medan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perolehan darurat peralatan perubatan di peringkat JKNS.

“Mobilisasi kakitangan kesihatan dari luar Lembah Klang turut dijalankan bagi membantu situasi Covid-19 di Lembah Klang meliputi pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Sha’ari berkata, semua hospital di Selangor telah menerima peningkatan kes Covid-19 yang tinggi terutama melibatkan pesakit kategori tiga dan ke atas secara berterusan sejak akhir Jun lalu.

“Peningkatan kemasukan pesakit akut di Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam berlaku susulan hospital tersebut dijadikan Hospital Berpakar Major Non-Covid yang memberi rawatan akut pesakit non-Covid sekitar daerah Petaling,” katanya.

Tular beberapa keping gambar menunjukkan suasana di HTAR Klang yang menerima ramai pesakit hingga terpaksa berbaring di atas katil mudah alih di pekarangan hospital hingga ke pondok pengawal pada Rabu.

Seorang pengendali Facebook yang berkongsi gambar terbabit meminta supaya orang ramai tidak perlu bersesak-sesak ke HTAR Klang jika tiada kes kecemasan.

“Jangan pergi HTAR Klang kalau tidak ada kepentingan. Hospital Shah Alam pun penuh dengan pesakit covid-19 sampai tak cukup katil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here