Home Koronavirus ‘Pernah terjatuh dalam liang lahad’

‘Pernah terjatuh dalam liang lahad’

0
‘Pernah terjatuh dalam liang lahad’

SEREMBAN – Mengambus tanah ketika menguruskan jenazah dengan berpakaian lengkap alat perlindungan peribadi (PPE) merupakan antara cabaran yang perlu dilalui pasukan pengurusan jenazah Covid-19 (Tajhiz) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Biarpun terpaksa berpeluh dengan pemakaian PPE, namun 80 petugas Tajhiz secara sukarela memikul tanggungjawab tersebut bagi memastikan pengurusan jenazah Covid-19 di negeri ini berjalan lancar dan selamat.

Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, petugas turut menguruskan jenazah bukan warganegara yang disimpan lebih 10 hari di dalam peti kerana perlu menunggu pelepasan daripada pejabat kedutaan negara terlibat.

Mohd Zaidi berkata, seramai lima anggota Tajhiz terlibat bagi menguruskan seorang jenazah bermula daripada mengendalikan jenazah di bahagian forensik hospital sehingga menguruskan jenazah, mengkafan, menyembahyangkan serta memasukkan jenazah ke dalam keranda dan kenderaan.

Menurutnya, ketika proses pengebumian pula, lapan orang lagi ditugaskan memastikan liang kubur disediakan dan sesuai dengan saiz jenazah serta menurunkan jenazah dan mengambus tanah.

“Mengambus tanah secara manual dengan berpakaian PPE lengkap terutamanya dalam situasi menguruskan jenazah bagi kematian serentak antara cabaran dilalui oleh petugas kami.

“Dalam beberapa situasi, petugas terpaksa menimba air dari liang lahad sebelum jenazah dikebumikan.

“Selain itu, terdapat petugas terjatuh dalam liang lahad yang tersedia kerana pemakaian PPE yang berlapis dan berat,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, proses pengebumian adakalanya dibantu oleh waris si mati bergantung kepada permintaan ahli keluarga, namun dihadkan kepada tiga orang sahaja, tetapi atas faktor keselamatan dan waris perlu melalui tempoh kuarantin, pengebumian hanya dilakukan oleh petugas Tajhiz.

Katanya, proses penggalian kubur dilakukan oleh penggali kubur tempatan mengambil masa dua hingga tiga jam bagi penggalian secara manual dan 30 minit sekiranya menggunakan jentera binaan.

Selain itu, pasukan tersebut turut membantu urusan pengebumian jenazah yang meninggal di negeri lain tetapi perlu dikebumikan di negeri ini susulan permintaan waris.

Jelasnya, setakat ini petugas Tajhiz menguruskan sebanyak 58 jenazah.

Daripada jumlah itu, jenazah paling muda diuruskan berusia 26 tahun dan paling tua berumur 88 tahun, kedua-duanya lelaki.

Katanya Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) turut memantau proses dilaksanakan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk membekalkan pakaian PPE dan melakukan proses sanitasi ke atas barang dan terhadap petugas setiap kali selesai urusan pengebumian. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here