JOHOR BAHRU – Rata-rata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor yang menghadiri perbincangan secara maya berkenaan Covid-19 diadakan pertama kali di sini pada Khamis memberikan komen positif mengenai sesi perbincangan itu, malah berharap ia diadakan lebih kerap dengan tempoh perbincangan dipanjangkan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, perbincangan itu lebih menyentuh secara menyeluruh mengenai pelbagai aspek meliputi pengurusan pandemik Covid-19 di negeri itu.
Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad itu antara lain ia menyentuh mengenai proses pemberian vaksinasi, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan pelbagai lagi isu berkaitan.
“Seperti kata Menteri Besar, mesyuarat seupama ini akan diadakan lagi pada masa hadapan. Jadi saya harap akan lebih kerap dan tertumpu kepada isu yang lebih fokus kepada warga Johor dan tumpuan kepada jalan penyelesaian,” kata beliau ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.
Perbincangan pada Khamis diadakan susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar baru-baru yang mahukan supaya semua ADUN berbincang dan memberi buah fikiran yang bernas dalam usaha menangani pandemik dan menyejahterakan rakyat.
Difahamkan, perbincangan secara maya itu berlangsung selama lebih tiga jam.
Sementara itu ADUN Skudai, Tan Hong Pin berkata, tempoh masa perbincangan yang diperuntukkan dalam mesyuarat pada pagi Khamis dilihat sangat singkat dan ia seharusnya perlu mengambil masa yang lebih panjang memandangkan Johor mempunyai 56 kerusi ADUN.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pertimbangan bagi perolehan sendiri vaksin akan membolehkan lebih ramai lagi rakyat Johor divaksinasi dengan lebih awal untuk mengelakkan lebih banyak kematian akibat Covid-19.
Beliau yang juga ADUN Parit Yaani merangkap Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, peruntukan bagi memperolehi vaksin berkenaan sebagai contoh boleh menggunakan Rizab Tunai Negeri Johor atau Tabung Amanah Warisan Negeri Johor bagi menampung pembelian vaksin kerajaan negeri.
“Selain itu kerajaan negeri antara lain perlu mempertimbangkan untuk membenarkan majikan menampung kos vaksinasi untuk pekerja masing-masing,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Hasni berkata, kerajaan negeri menggunakan beberapa pendekatan termasuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan semua pihak berkaitan untuk proses mendapatkan vaksin termasuk sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin sendiri seperti membeli dari Singapura.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2.8 juta kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor dalam usaha kerajaan negeri menangani pandemik Covid-19 negeri. – Bernama