Home Koronavirus Sabah, Kanger International tandatangani MoU dapatkan vaksin Sinopharm

Sabah, Kanger International tandatangani MoU dapatkan vaksin Sinopharm

0
Sabah, Kanger International tandatangani MoU dapatkan vaksin Sinopharm

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri Sabah dan Syarikat Kanger International Berhad pada Khamis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 jenis Sinopharm.

Melalui MoU itu, kerajaan negeri bersetuju melantik syarikat berkenaan sebagai pengedar tunggal vaksin Sinopharm untuk Sabah setelah ia diluluskan penggunaannya di negara ini.

Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Rusdin Riman dan Pengarah Eksekutif Kanger International, Steven Kuah menandatangani MoU itu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Kuah berkata, pihaknya akan mendapatkan kelulusan daripada kerajaan melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum membawa masuk bekalan vaksin itu.

“Proses pendaftaran vaksin Sinopharm (dengan NPRA) telah dimulakan dan kami berharap dapat menerima berita baik kelulusan vaksin itu tidak lama lagi.

“Kami percaya bahawa kerjasama antara sektor awam dan swasta akan menguntungkan dan mempercepatkan usaha vaksinasi di Malaysia,” katanya sambil menambah jumlah dos vaksin yang dibekalkan untuk negeri ini akan diputuskan kemudian.

Kuah berkata, pihaknya melihat inisiatif itu penting untuk menyokong dan melengkapkan lagi usaha kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok di Malaysia yang boleh membantu mengekang penularan wabak Covid-19.

Pada masa ini hanya tiga vaksin Covid-19 yang digunakan di Malaysia iaitu Pfizer-BioNTech, Sinovac dan Oxford-AstraZeneca. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here