Home Koronavirus Pengamal media di Labuan antara kumpulan pertama terima vaksin

Pengamal media di Labuan antara kumpulan pertama terima vaksin

0
Pengamal media di Labuan antara kumpulan pertama terima vaksin

LABUAN – Sepuluh wakil media dan beberapa petugas kesihatan adalah antara kumpulan pertama yang menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Labuan pada Sabtu.

Turut menerima suntikan ialah Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan Rithuan Ismail; Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Labuan, Mohd Hafiez Daud.

Pengamal media terbabit adalah daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Television Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan yang bertugas di Labuan.

Program imunisasi Labuan bermula Sabtu di Klinik Kesihatan Membedai dengan Dr Ismuni Bohari yang merupakan Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan menerima suntikan pertama diikuti pemimpin tempatan, 15 petugas kesihatan dan ketua kerajaan lain.

Ketika melancarkan program imunisasi itu, Bashir berkata, fasa pertama (bermula Sabtu) akan berlangsung sehingga April diikuti fasa kedua sehingga Ogos (untuk warga emas, penghidap penyakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) manakala fasa ketiga dari Ogos hingga Februari 2021.

“Pelaksanaan imunisasi itu akan meliputi kira-kira 103,000 jumlah penduduk di Labuan dijadualkan berlangsung sehingga Februari tahun depan,” katanya.

Kumpulan pertama 4,680 dos vaksin Covid-19 untuk Labuan selamat tiba di Terminal Feri Ro-Ro Labuan pada Jumaat dan fasa pertama membabitkan sejumlah 2,340 petugas barisan hadapan serta bukan barisan hadapan, pemimpin tempatan dan wakil media yang bertugas di Labuan.

Kakitangan, doktor dan jururawat Hospital Labuan akan diberikan vaksin itu bermula Ahad di premis hospital berkenaan dengan Pengarahnya, Dr Adnan Musa Balidran menerima suntikan pertama.

Fasa kedua vaksinasi (melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi selain orang kurang upaya) dijadual pada April, sebaik selepas pemberian dos kedua selesai dan fasa ketiga (bagi kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas) dijadual dari Ogos hingga Februari tahun depan.

Dr Ismuni berkata, Labuan masih dikaitkan dengan dua kluster, Taman Mahkota Impian dan Jalan Mohammad Salleh dengan masing-masing merekodkan 56 dan 86 kes.

Kluster Titian di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kampung Muslim, Hujung Pasir (Pusat Transformasi Bandar [UTC] Pasar Sentral) J Bandar (kedai makan) dan Kinabenuwa (pekerja dalam sektor industri minyak dan gas) telah pun berakhir.

Pada sesi taklimat mengenai situasi Covid-19, Dr Ismuni mendedahkan sejumlah 425,328 individu yang menjalani saringan pada tahun lalu dan 31,207 setakat tahun ini.

Dua (sub zon 3 dan 5) daripada lima sub zon diisytihar sebagai zon hijau Covid-19 manakala bakinya masih zon kuning.

Labuan merekodkan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 2,264 dengan lima kes aktif dan 13 kematian. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here