Home Koronavirus Penerima Sinovac tetap kena ambil dos penggalak

Penerima Sinovac tetap kena ambil dos penggalak

0
Penerima Sinovac tetap kena ambil dos penggalak

BATU PAHAT – Kementerian Kesihatan (KKM) masih kekal dengan ketetapan bahawa penerima vaksin Sinovac perlu mendapatkan suntikan dos penggalak sebelum 1 Mac ini bagi memastikan mereka kekal dengan status lengkap divaksin.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, setakat ini kementerian masih terbuka untuk menerima apa sahaja pandangan, namun arahan semasa berkaitan penerima vaksin Sinovac adalah kekal.

“Ya tidak mengapa itu pandangan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), kita ambil maklum,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke sebuah klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai memaklumkan persatuan itu berpandangan mereka yang telah mengambil dua dos suntikan vaksin Sinovac boleh dikategorikan sebagai telah lengkap divaksinasi.

Dalam perkembangan lain, Khairy Jamaluddin tidak menafikan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung tiada paksaan untuk ibu bapa mengambil vaksin kepada anak-anak mereka.

“Apa Perdana Menteri kata memang betul. Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) atau mana-mana vaksin tak pernah diwajibkan.

“Cuma untuk orang dewasa kalau tidak dapat vaksin penuh akan ada beberapa kemudahan tak dapat dilakukan atau tak boleh pergi tempat tertentu misalnya,” katanya.

Ujarnya, ini kerana pengambilan vaksin dan dos penggalak bukan hanya di Malaysia tetapi turut dilaksanakan di negara-negara luar.

“Negara luar kalau nak melancong pun ada letak syarat vaksin dan sebagainya. Kita bukan satu-satunya negara yang bagi kebebasan kepada mereka yang divaksin penuh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here