Home Koronavirus Penerima Sinovac, individu 60 tahun ke atas digesa ambil dos penggalak

Penerima Sinovac, individu 60 tahun ke atas digesa ambil dos penggalak

0
Penerima Sinovac, individu 60 tahun ke atas digesa ambil dos penggalak

SHAH ALAM – Penerima Sinovac dan individu berusia 60 ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya akhir bulan Mac untuk mengekalkan status lengkap vaksinasi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini kerana pada 1 April, bagi kedua-dua golongan tersebut sekiranya tidak mengambil dos penggalak, status vaksinasi tidak menjadi lengkap.

“Sehingga 7 Mac, kadar vaksinasi lengkap ialah hampir 99 peratus. Bagi dos penggalak pula ialah 64 peratus. Di sini saya ingin merayu kepada rakyat Malaysia terutama yang belum menerima dos penggalak untuk terima sebelum 1 April.

“Lebih-lebih lagi anda berusia 60 tahun ke atas atau penerima vaksin Sinovac kerana untuk dapatkan lengkap vaksin pada 1 April, adalah wajib untuk dapat dos penggalak untuk kekalkan vaksinasi lengkap mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berkenaan peralihan ke endemik yang disiarkan secara langsung menerusi beberapa platform media sosial, pada Rabu.

Pada 2 Mac lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan melanjutkan tempoh pemberian dos penggalak kepada penerima vaksin Sinovac yang telah ditetapkan sehingga 31 Mac ini.

Khairy berkata, sekiranya golongan itu masih enggan mendapatkan dos penggalak selepas tarikh yang ditetapkan, status vaksinasi mereka akan bertukar kepada tidak lengkap.

KKM sebelum ini telah menetapkan tempoh akhir bagi penerima vaksin Sinovac mendapatkan dos penggalak adalah sehingga 28 Februari lalu namun dilanjutkan ke 31 Mac ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here