Home Koronavirus Pemantauan pematuhan SOP di TBS dipertingkat

Pemantauan pematuhan SOP di TBS dipertingkat

0
Pemantauan pematuhan SOP di TBS dipertingkat

KUALA LUMPUR – Polis memperketatkan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, setakat ini hanya dua kompaun sahaja dikeluarkan di TBS, hasil daripada pemantauan SOP ketat.

“Pada bulan lalu, kita mengeluarkan kompaun terhadap seorang wanita kerana tidak mengimbas kod QR MySejahtera ketika menaiki bas.

“Kita turut menahan sepasang kekasih yang menggunakan borang rentas negeri yang dipalsukan selepas cuba membeli tiket bas di TBS,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau pematuhan SOP di TBS di sini pada Sabtu.

Mohamed Mokhsein berkata, orang ramai perlu menunjukkan surat kebenaran polis untuk merentas negeri ketika pembelian tiket di kaunter.

“Kita bersama polis bantuan turut menyemak borang rentas negeri itu, sebelum penumpang menaiki bas serta penumpang bas yang tiba dari luar Kuala Lumpur,” katanya.

Mohamed Mokhsein berkata, pihaknya mendapati suasana di TBS lengang dengan jumlah penumpang menunggu di terminal serta platform berkurangan seolah-olah bukan musim perayaan.

“Saya juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan, bersama-sama kita memutuskan rangkaian Covid 19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here