Home Koronavirus Pantau tahap kesihatan selepas terima dos penggalak

Pantau tahap kesihatan selepas terima dos penggalak

0
Pantau tahap kesihatan selepas terima dos penggalak

KUALA LUMPUR – Penerima dos penggalak vaksin Covid-19 perlu peka dengan perubahan kesihatan diri dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas vaksinasi dan sekiranya mengalami kesan sampingan berlanjutan melebihi tiga hari, disarankan berjumpa doktor dengan kadar segera.

Perunding Hematologi Hospital Ampang Dr Veena Selvaratnam berkata, antara kesan sampingan yang perlu diberi perhatian sekiranya dialami lebih daripada tiga hari ialah demam, sakit kepala, sakit perut, loya, muntah dan ruam berbintik merah pada badan kerana ia mungkin merupakan simptom terjadinya Vaccine Induced Thrombotic Thrombocytopenia (VITT) iaitu darah beku dalam salur darah vena.

“Selain itu, sesak nafas dan bengkak kaki juga perlu diberikan perhatian sekiranya anda mengalaminya…ini adalah antara tanda awal pembentukan darah beku di mana-mana bahagian badan kita.

“Jika sesiapa alami kesan sampingan seperti sakit di tempat cucuk, biasanya ia akan hilang dalam tempoh 24 hingga 48 jam,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dr Veena berkata, mereka yang menerima dos penggalak juga perlu berehat dan minum air yang banyak serta jangan terlalu aktif kerana badan sedang membentuk imuniti.

Menurutnya, golongan yang berisiko mengalami VITT adalah mereka yang menerima vaksin jenis adenovirus terutama yang berusia 30 hingga 50 tahun serta mereka yang pernah mempunyai sejarah mengalami masalah pembekuan darah.

“Namun berdasarkan kajian, trend VITT di luar negara merekodkan sembilan hingga 10 kes bagi satu juta dos manakala di Malaysia, kurang daripada satu kes bagi satu juta dos,” katanya.

Beliau juga menggalakkan sesiapa yang mempunyai keraguan berkenaan vaksinasi boleh berbincang dengan doktor terlebih dahulu dan jangan mudah terpengaruh dengan mesej tular menerusi laman sosial.

“Orang ramai perlu faham yang risiko jangkitan Covid-19 adalah jauh lebih tinggi daripada risiko kesan sampingan vaksin,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Shawal Faizal Mohamad berkata, sekiranya seseorang itu mengalami demam serta sengal badan dalam tempoh satu atau dua hari selepas vaksinasi diikuti degupan jantung laju, sesak nafas dan sakit dada selepas tiga hari, mereka perlu mendapatkan rawatan doktor.

“Kadar degupan jantung boleh diperiksa menggunakan alat tekanan darah dan perlu dirujuk ke doktor sekiranya bacaan mencapai 120 ke atas dalam seminit ketika berehat…ini mungkin simptom yang boleh membawa kepada miokarditis radang pada otot jantung dan perikarditis iaitu radang pada lapisan luar jantung,” katanya.

Dr Mohd Shawal berkata, bagaimanapun miokarditis dan perikarditis yang dialami penerima dos penggalak boleh pulih 100 peratus.

Namun, beliau menasihatkan orang ramai agar mendapatkan rehat yang secukupnya selepas menerima vaksinasi bagi mengelakkan sebarang risiko.

Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) amat mengalu-alukan laporan kesan sampingan penerima vaksinasi termasuk dos penggalak yang boleh dibuat melalui MySejahtera, talian Bahagian Regulatori Farmasi Negara atau borang dalam talian KKM. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here