Home Koronavirus Najib persoal isu kesesakan di CAC Stadium Malawati

Najib persoal isu kesesakan di CAC Stadium Malawati

0
Najib persoal isu kesesakan di CAC Stadium Malawati

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan isu kesesakan yang berlaku di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati, Shah Alam yang dikatakan gagal diurus secara berkesan.

Dakwa Najib, terdapat segelintir pesakit yang terpaksa beratur selama 10 jam sebelum diperiksa oleh petugas kesihatan.

“Berdosa korang (kamu) biarkan orang yang sudah sakit beratur 10 jam sehingga ke jalan raya sebelum mendapat perhatian.

“Mereka ini beribu-ribu warga Malaysia, tahu? Mereka sedang sakit, tahu?” soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Pada Isnin, media melaporkan lonjakan jumlah pesakit yang dijangkiti Covid-19 di Selangor pada minggu lalu menyebabkan pusat tersebut sesak.

Menurut Najib, isu kesesakan tersebut pernah diutarakan dua bulan lalu dan beliau sudah memberi cadangan penyelesaian.

“Kenapa ini masih boleh berlaku malah bertambah parah. Kenapa kamu tiada belas kasihan kepada mereka?

“Ibu, anak dan warga emas semua sedang sakit, ada yang tenat. Semua terpaksa beratur bersama ribuan lagi pesakit Covid-19.

“Dipaksa beratur sehingga 10 jam di bawah matahari terik untuk mendapat perhatian tanpa minuman dan makanan. Apa yang akan jadi jika hujan turun pula?” Katanya.

Beliau turut mempersoalkan dana bernilai RM600 bilion semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang sudah digunakan tetapi masih tiada hasil.

“Fix this now! (Betulkan ini sekarang), ini bukan politik. Ini isu kamu masih seorang manusia yang ada sedikit rasa simpati dan tanggungjawab atau bukan? Ini Malaysia ?” Soalnya.

Mengulas lanjut, Najib menyarankan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor menggesa kerajaan pusat menyediakan lebih banyak lokasi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di pelbagai daerah bagi meringankan beban.

“Jika kita boleh buat banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega, tiada sebab kita tak boleh buat lebih banyak CAC yang lebih kecil tapi tersebar supaya mereka tidak perlu berkumpul dan bersesak di satu lokasi mega.

“Marah dan sakit hati saya tengok gambar-gambar begini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here