Home Koronavirus MOTAC sasar vaksin 80 peratus penduduk Langkawi

MOTAC sasar vaksin 80 peratus penduduk Langkawi

MOTAC sasar vaksin 80 peratus penduduk Langkawi

LANGKAWI – Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebulat suara menerima cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk meningkatkan pemberian vaksin kepada penduduk Langkawi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, pihaknya mensasarkan 80 peratus penduduk pulau tersebut akan divaksinasi bagi mencapai tahap imuniti kelompok sejajar dengan usaha merealisasikan Program Destinasi Bebas Covid-19.

“Jumlah penduduk di Pulau Langkawi yang layak menerima vaksin dianggarkan sekitar 76,400 orang daripada keseluruhan penduduk yang berjumlah 111,500 orang,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Integrasi (PPVI) baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) dengan kapasiti penerima vaksin disasarkan seramai 3,000 orang sehari.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Laporan mendedahkan, sehingga 12 Julai 2021, jumlah penduduk Langkawi yang telah mendaftar untuk vaksinasi adalah seramai 61,313 orang. Daripada jumlah tersebut, bilangan penerima vaksin dos pertama adalah 27,362 orang manakala dos kedua 20,465 orang.

Menurut Nancy, pelaksanaan ini selaras dengan tiga Fasa Pelan Pemulihan Pelancongan yang telah digariskan oleh MOTAC.

“Terima kasih kepada KhairyJamaluddin yang merealisasikan Program Destinasi Bebas Covid-19 di Pulau Langkawi sebagai projek rintis. Usaha ini akan diperluaskan ke destinasi pelancongan lain di negara ini seperti di Pulau Pinang, Pahang, Johor, Melaka dan Sabah secara berperingkat sebagai green travel bubble,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pulau Langkawi dipilih sebagai lapangan ujian untuk menyemarakkan kembali industri pelancongan yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19. Dengan kedudukan pulau itu yang terasing, ia memudahkan urusan pemantauan dilakukan.

Menurut Nancy, destinasi rintis yang dipilih ini atas beberapa kriteria seperti mempunyai rangkaian penerbangan serantau dan antarabangsa dan memiliki kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong.

Menerusi program ini, MOTAC yakin sektor pelancongan menjana semula pendapatan secara berterusan selepas ia dibuka secara berperingkat-peringkat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here