Home Koronavirus MITI sedia laksana program seperti PIKAS kepada pekerja industri

MITI sedia laksana program seperti PIKAS kepada pekerja industri

0
MITI sedia laksana program seperti PIKAS kepada pekerja industri

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersedia untuk melaksanakan satu usaha yang menyerupai Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), bagi meningkatkan tahap suntikan dos penggalak Covid-19 dalam kalangan pekerja sektor pembuatan dan perkilangan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya bagaimanapun akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung beberapa perkara daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum meneruskan pelaksanaannya.

Ia termasuk kesediaan KKM dari segi bekalan vaksin, kemudahan atau fasiliti yang boleh digunakan serta tempoh masa sesuai untuk melaksanakan program.

“Melalui PIKAS yang dilaksanakan tahun lalu, seramai 1.8 juta pekerja sektor ini telah berjaya divaksinasi dengan dos pertama dan kedua Covid-19.

“Berdasarkan pengalaman itu, kita boleh teruskan dengan satu program yang lebih kurang sama bagi dos penggalak, melalui penglibatan sektor swasta,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-34 Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Cawangan Nakhoda, di Batu Caves pada Ahad.

Beliau berkata, langkah seperti ini lebih efektif kerana semua sektor tersebut akan memberi tumpuan kepada program dilakukan berbanding sekarang ini yang menyaksikan pekerja mengambil dos penggalak secara persendirian.

Azmin ditanya mengenai langkah yang telah diambil MITI bagi mempercepatkan pengambilan dos penggalak dalam kalangan pekerja sektor pembuatan dan perkilangan.

Beliau berkata pihak industri setakat ini menyokong idea pelaksanaan program itu kerana berpendapat ia meningkatkan produktiviti syarikat mereka.

“Sekiranya pekerja tidak diberikan dos penggalak ada kemungkinan operasi syarikat terpaksa ditutup sementara walaupun kita (kerajaan) tidak laksanakan sekatan pergerakan.

“…tetapi penutupan secara bersasar itu mungkin kalau mereka (syarikat) tidak memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan oleh KKM. Jadi dengan adanya dos penggalak ini, ia dapat membantu mereka (syarikat) meneruskan operasi,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here