Home Koronavirus Mesej tular Covid-19 merebak di Kuala Pilah tidak benar

Mesej tular Covid-19 merebak di Kuala Pilah tidak benar

0
Mesej tular Covid-19 merebak di Kuala Pilah tidak benar

Mesej tular berhubung Covid-19 di Pasir Ambor dan Juasseh, Kuala Pilah.

KUALA PILAH – Tiada penularan kes Covid-19 di daerah ini terutamanya di kawasan Pasir Ambor dan Juasseh seperti mana yang tular di aplikasi Whatsapp.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap bagaimanapun berkata, terdapat satu kes Covid-19 di kawasan itu membabitkan kematian seorang lelaki berusia 45 tahun namun tiada sebarang perebakan dalam kalangan kontak rapat dan penduduk sekitar.

“Oleh itu, mesej tular itu adalah tidak sahih. Semua kontak rapat didapati tidak bergajala dan berstatus negatif Covid-19 ini juga telah diberikan pendidikan kesihatan.

“Pengurusan jenazah kes Covid-19 telah dilaksanakan mengikut tatacara terkini iaitu pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah membenarkan waris untuk bersama-sama menguruskan jenazah terbabit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, Allahyarham bekerja di Seremban dan bukan mendapat jangkitan di daerah ini, selain mangsa turut mengidap penyakit darah tinggi serta obesiti.

“Adalah ditegaskan bahawa tiada perebakan kes Covid-19 di kawasan yang dinyatakan dan kami sentiasa komited dalam memastikan penularan wabak dapat dibendung serta dipantau dari masa ke masa.

“Oleh itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran dan mengganggu ketenteraman awam,” ujarnya.

Sementara itu, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah dalam kenyataannya turut menafikan mesej tular itu selain meminta orang ramai yang sudah menerima dos penggalak pertama supaya mendapatkan dos penggalak kedua di fasiliti kesihatan terdekat.

Tambah kenyataan itu, ia bagi mengurangkan risiko komplikasi dan kemudaratan apabila dijangkiti Covid-19, sekiranya terdapat gejala, pesakit dimohon untuk melakukan saringan kendiri dan sekiranya positif Covid-19 perlu melaporkan di mySejahtera dan mendapatkan rawatan segera.

Sejak pagi Rabu, satu mesej mengenai penularan Covid-19 di kawasan Pasir Ambor dan Juasseh tular sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat setempat malah turut mengingatkan orang ramai supaya tidak ke kawasan terbabit.

“Untuk makluman semua jangan pergi kawasan Pasir Ambor dan Juasseh, Covid-19 dah mula merebak di kawasan ini. Semalam dah ada kematian lelaki umur dalam 40-an, demam dua minggu tapi tak pergi hospital, malam kelmarin buat kenduri esoknya meninggal.

“KKM tak benarkan ahli keluarga urus jenazah, khuatir ahli keluarga dijangkiti Covid-19. Malam tadi tahlil di masjid ahli keluarga tidak dibenarkan hadir, maka perlu berjaga-jaga,” kata mesej tular itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here